Translate

13 November 2024



Kementerian Komunikasi pastikan rakyat nikmati impak peruntukan RM2.55 bilion

Bernama

13/11/2024


Nie Ching bercakap dalam sesi temu bual ketika hadir ke konti Bernama Radio untuk membincangkan topik mengenai Belanjawan 2025 di Wisma BERNAMA. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi akan menggerakkan semua agensi di bawahnya untuk memastikan peruntukan sebanyak RM2.55 bilion dalam Belanjawan 2025 dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata antara fokus kementerian menerusi peruntukan itu adalah meningkatkan kualiti dan capaian Internet di seluruh negara terutama di kawasan institut pengajian tinggi (IPT), sekolah serta kawasan pedalaman.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk meningkatkan akses Internet di kampus dengan peruntukan sebanyak RM120 juta.

"Selain itu peruntukan RM100 juta akan dibelanjakan untuk meningkatkan liputan Internet di kawasan sekolah manakala RM800 juta untuk projek Point of Presence (PoP) bagi memberi peluang kepada penduduk di kawasan pedalaman mendapatkan akses fibre optik berkualiti.

"Untuk industri kreatif pula, kami akan terus bekerjasama dengan FINAS dan MyCreative Ventures untuk memperkasa penggiat seni dan pada masa sama kita mahu fokus kepada pembangunan keupayaan hingga kita boleh hasilkan profesional yang tidak perlu bergantung kepada dana kerajaan," katanya kepada Bernama selepas temu bual bersama Bernama Radio dengan topik 'Belanjawan 2025: Tingkatkan Taraf Hidup Rakyat' pada Selasa.

Sementara itu, Nie Ching dalam program itu berkata peruntukan besar yang diterima pada tahun hadapan merupakan tanggungjawab berat kepada kementerian dalam memastikan rakyat dapat menikmati manfaat serta impaknya.

"Kementerian Komunikasi ada beberapa agensi terlibat seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang jaga Internet, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) jaga perkembangan filem dan MyCreative Ventures Sdn Bhd jaga industri kreatif.

"... di bawah Kementerian Komunikasi sendiri kami juga ada agensi seperti Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia), RTM (Jabatan Penyiaran Malaysia), JaPen (Jabatan Penerangan) dan CyberSecurity Malaysia.

"... jadi kementerian akan bekerjasama menggiatkan semua agensi supaya kita boleh pastikan kita akan dapat nilai maksimum daripada semua peruntukan yang kami dapat ini. (Ini adalah) sumbangan kami kepada masyarakat supaya rakyat jelata akan rasa impak itu," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 18 Okt lepas membentangkan Belanjawan 2025 dengan peruntukan RM421 bilion, meliputi RM335 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM86 bilion untuk pembangunan.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED