Translate

22 November 2024

Siasatan kes perolehan aset di luar negara keluarga Tun Daim diteruskan - SPRM



Siasatan kes perolehan aset di luar negara keluarga Tun Daim diteruskan - SPRM

Astro Awani

22/11/2024


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjelaskan siasatan ke atas keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin berhubung perolehan aset-aset di luar negara masih lagi diteruskan. - Foto fail/BERNAMA


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan siasatan ke atas keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin berhubung perolehan aset-aset di luar negara masih lagi diteruskan.

SPRM memberitahu, siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Menurut kenyataan itu, pihaknya ketika ini sedang melakukan penyelidikan kewangan (money trail) di luar negara dengan kerjasama agensi-agensi antarabangsa.

"Siasatan melibatkan isteri Allahyarham, Toh Puan Na’imah Abdul Kadir dan ahli keluarga beliau, yang mana siasatan tertumpu kepada perolehan aset-aset di luar negara masih dijalankan.

"Justeru SPRM menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kes ini dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dengan lancar tanpa sebarang gangguan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, SPRM memberitahu, pada Februari 2023, pihaknya membuka beberapa kertas siasatan berdasarkan maklumat yang didedahkan dalam Pandora Papers.

Siasatan ke atas maklumat dalam Pandora Papers itu membawa kepada siasatan terhadap Kementerian Kewangan pada ketika itu, dengan Allahyarham Daim menjadi Menteri Kewangan.

"Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media SPRM bertarikh 30 Disember 2023, satu notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dikeluarkan kepada Allahyarham pada 7 Jun 2023.

"Notis ini mengkehendaki beliau mengisytiharkan semua aset miliknya di dalam dan luar negara secara bertulis dan melalui akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis," ujarnya.

Bagaimanapun menurut kenyataan itu, Allahyarham memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan SPRM memberikan lanjutan berkenaan pada 6 Julai 2023, 10 Ogos 2023, 11 September 2023, 11 Oktober 2023 dan terakhir pada 14 November 2023 untuk melengkapkan pengisytiharan aset tersebut.

Pada 29 Januari lalu, Allahyarham didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 atas pertuduhan gagal mematuhi notis yang terakhir iaitu 14 November 2023, dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta dan satu akaun bank.

Namun demikian SPRM berkata, selepas Allahyarham meninggal dunia pada 20 November lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas dan membebaskan beliau daripada pertuduhan gagal mematuhi notis tersebut mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

"Walau bagaimanapun, siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) berkaitan kes ini masih diteruskan," jelasnya.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED