Translate

22 November 2024

Padah bakar bunga api, dua beradik didakwa di mahkamah



Padah bakar bunga api, dua beradik didakwa di mahkamah

Astro Awani

22/11/2024


Jesan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini. - Gambar/ Astro AWANI


TELUK INTAN: Dua beradik dihadapkan ke dua mahkamah berasingan di sini, hari ini atas tuduhan memiliki dan melakukan khianat membakar bunga api sehingga menyebabkan kebakaran di Dewan Arena Square Teluk Intan, minggu lalu.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh Jesan John Mikela, 19, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffudin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan bunga api dengan mengetahui mungkin dengan jalan itu menyebabkan kerosakan kepada bangunan Dewan Arena Square kepunyaan Majlis Perbandaran Teluk Intan yang digunakan sebagai tempat kegunaan awam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Dewan Arena Square Jalan Raja, Teluk Intan kira-kira jam 11.29 malam pada 11 November 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selain dikehendaki melapor diri di balai polis sebulan sekali.

Dalam pada itu, di Mahkamah Majistret, abangnya, Steven, 24, juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mempunyai bahan letupan jenis ‘happy boom assorted 138 shot’ dan ‘happy boom red cracker 88’ di lokasi sama kira-kira jam 8.30 malam, 11 November lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Naidatul Athirah Azman membenarkan tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori dijamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Aina Liyana Mohd Talal dan Inspektor Nurul Farahdiana Md Saad manakala tertuduh diwakili Peguam Faustina Francis.

Mahkamah menetapkan 20 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kedua-dua kes.




Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED