Translate

12 July 2024

Pendengaran permohonan jaminan pasangan dituduh bekal senjata kepada warga Israel ditetapkan 25 Julai



Pendengaran permohonan jaminan pasangan dituduh bekal senjata kepada warga Israel ditetapkan 25 Julai

Bernama

11/07/2024
Sharifah Faraha dan Abdul Azim masing-masing tiba di mahkamah pada pukul 9.20 pagi dan 10 pagi

KUALA SELANGOR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 25 Julai ini untuk mendengar permohonan pasangan suami isteri yang dituduh membekalkan senjata api kepada warga Israel, untuk dibenarkan diikat jamin.

Sharifah Faraha Syed Husin, 41, dan Abdul Azim Mohd Yasin, 43, masing-masing tiba di mahkamah pada pukul 9.20 pagi dan 10 pagi.

Permohonan itu dikemukakan peguam Mohamad Isa Mohamad Basir mewakili Sharifah Faraha yang sebelum ini tidak ditawarkan jaminan sejak dituduh.







"Saya harap mahkamah dapat menimbangkan permohonan ini dengan menggunakan kuasa budi bicara mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593)," katanya pada prosiding hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik yang mengendalikan prosiding membantah permohonan berkenaan mengambil kira keseriusan pertuduhan dihadapi Sharifah Faraha.

Peguam Ethan Tan yang mewakili Abdul Azim turut memohon supaya anak guamnya dibenarkan jaminan.

Hakim Ahmad Faizadh Yahya kemudian mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk menetapkan hujahan masing-masing berkenaan perkara itu pada sebutan semula kes 25 Julai nanti.

Pada 8 April lepas, Sharifah Faraha mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER di sebuah rumah di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor pada 8 malam, 29 Mac lepas.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan jika sabit kesalahan.

Abdul Azim pula didakwa ada bersama Sharifah Faraha dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah, bahawa dia tahu isterinya itu memiliki senjata api berkenaan pada lokasi, tarikh dan masa sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman serupa, jika disabitkan kesalahan.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED