Translate

01 February 2024

Permohonan sambung reman tiga anggota polis kes tular minta RM100 ditolak



Permohonan sambung reman tiga anggota polis kes tular minta RM100 ditolak

ASTRO AWANI

Februari 1, 2024
Ketiga-tiga suspek memasuki mahkamah kira-kira jam 1.18 tengah hari sebelum keluar kira-kira 40 minit kemudian. - Foto Astro AWANI

Permohonan sambung reman tiga anggota polis kes tular minta RM100 ditolak

Ketiga-tiga suspek memasuki mahkamah kira-kira jam 1.18 tengah hari sebelum keluar kira-kira 40 minit kemudian. - Foto Astro AWANI

IPOH: Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan untuk menyambung tempoh tahanan reman tiga anggota polis trafik bagi membantu siasatan kes meminta wang daripada pasangan pelancong warga United Kingdom (UK) untuk menyelesaikan saman trafik di Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands, baru-baru ini.

Majistret Siti Nora Sharif membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pemohon dan peguam yang mewakili ketiga-tiga suspek.

Peguam, Al Hirzan Mahamad Akhir dan Aqmarul Aqil Ismail yang mewakili ketiga-tiga suspek ketika ditemui memaklumkan antara hujahan mereka ialah tiada mangsa yang tampil setakat ini selain beberapa perkara teknikal lain.







Pihak polis membuat permohonan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek memasuki mahkamah kira-kira jam 1.18 tengah hari sebelum keluar kira-kira 40 minit kemudian.

Kesemua mereka memakai pakaian gelap bertutup kepala di samping pelitup muka.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi berkata, ketiga-tiga suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis.

Bagaimanapun katanya, siasatan mengenai kes tersebut masih diteruskan.

Pada Selasa, media melaporkan tiga anggota polis trafik direman tiga hari sehingga Khamis bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan yang tular di media sosial.

Mohd Yusri berkata, ketiga-tiga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang ditahan itu berumur dalam lingkungan 37 hingga 42 tahun.

Pada 28 Jan lepas, media melaporkan Polis Bukit Aman menyiasat video tular yang memaparkan seorang polis trafik didakwa mengambil RM100 daripada dua pelancong asing dengan alasan membayar saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju.

Menerusi video berdurasi 50 saat yang tersebar dalam platform X, pasangan pelancong dari UK itu disaman oleh polis trafik kerana didakwa memandu melebihi had laju.

Namun, polis terbabit memberitahu mereka boleh menjelaskan saman RM300 di balai polis berdekatan atau membayar RM100 kepadanya di situ.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED