Translate

07 October 2023

Karate pastikan akaun pingat Malaysia aktif



Karate pastikan akaun pingat Malaysia aktif

Bernama

Oktober 7, 2023
Kem karate negara menambah kutipan pingat kontinjen Malaysia pada penghujung temasya. - Bernama

Karate pastikan akaun pingat Malaysia aktif

Kem karate negara menambah kutipan pingat kontinjen Malaysia pada penghujung temasya. - Bernama

HANGZHOU: Kem karate negara mengambil alih perhatian pada penghujung temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, apabila menambah kutipan pingat kontinjen Malaysia yang sudahpun melepasi sasaran ditetapkan, dengan meraih perak dalam acara kata berpasukan wanita pada Jumaat.

Pada hari kedua saingan sukan itu di Gimnasium Pusat Sukan Linping, pingat perak yang diraih trio Naccy Nelly Evvaferra Rojin, Niathalia Sherawinnie Yampil dan Lovelly Anne Robberth itu, merupakan pingat ke-29 negara.

Trio negara yang dikatakan mampu mencipta kejutan menyumbang emas, terpaksa akur kepada kehebatan pemenang perak Kejohanan Karate Asia 2023 dan pemenang emas Sukan SEA 2023 dari Vietnam, yang terdiri daripada Nguyen Thi Phuong, Nguyen Ngoc Tram dan Luu Thi Thu Uyen.



Dengan dua pingat perak telah diraih termasuk satu menerusi kata individu wanita semalam, kem karate berpeluang terus mencuri perhatian pada Sabtu (7 Oktober), apabila pemenang gangsa edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia, S. Prem Kumar turun beraksi dalam acara kumite individu lelaki bawah 67 kilogram (kg).

Tumpuan pada Sabtu turut terarah kepada regu lelaki negara yang akan turun mempertahankan emas antara regu, yang dimenangi pada edisi lepas, namun berdepan halangan setinggi gunung apabila akan bertemu kuasa besar sukan sepak takraw, Thailand di pentas final di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua.

Pertembungan itu bukan sahaja memberi peluang kepada skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun menghadiahkan emas, malah menebus kekecewaan selepas tewas di tangan Thailand pada final acara regu berpasukan lelaki minggu lepas.

Sementara itu, di Gimnasium Huanglong, atlet gimrama Ng Joe Ee yang membuat penampilan pertamanya di Sukan Asia, berjaya menampilkan aksi memberangsangkan pada pusingan kelayakan untuk melangkah ke final individu all-around.

Di Gimnasium Binjiang pula, perjuangan beregu lelaki utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik terhenti di peringkat separuh akhir, selepas ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan India Satwik Sairaj Rankireddy-Chirag Chandrashekhar yang melakar kemenangan 21-17, 21-12.

Bagaimanapun, kegagalan itu tetap dibayar dengan gangsa, sekali gus menyaksikan Malaysia sekurang-kurangnya akan membawa pulang 31 pingat termasuk satu daripada sepak takraw menerusi acara regu lelaki.

Kilaun gangsa itu juga memperbaiki pencapaian skuad badminton negara yang gagal membawa pulang sebarang pingat pada edisi lepas.

Dalam pada itu, hasrat kem ekuestrian untuk menambah kilauan pingat tidak kesampaian, selepas S. Nageswaran bersama kudanya Wanskjaer Cuneo, menamatkan final acara lompatan individu di tempat ke-12 di Pusat Ekuestrian Tonglu.

Esok, skuad hoki wanita akan menutup kempen di Sukan Asia dengan membuat perhitungan menentang Thailand, pada perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam di Stadium Gonshu Canal Sports Park, selain pasukan jiu-jitsu dan xiangqi akan terus mengibar cabaran Malaysia.

Setakat malam ini, Malaysia berada di kedudukan ke-14 selepas mengumpul lima emas, tujuh perak dan 17 gangsa (29 pingat), manakala China teratas dengan kutipan 187-104-62, diikuti Jepun di tempat kedua (47-57-62) dan Korea Selatan ketiga (36-49-84).

-- BERNAMA


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED