Pemukiman Menteri: Dilaksana bagi perkukuh, mantapkan kesepakatan, kesepaduan Kerajaan Perpaduan
Astro Awani
Januari 15, 2023
Pemukiman Menteri: Dilaksana bagi perkukuh, mantapkan kesepakatan, kesepaduan Kerajaan Perpaduan
Program permukiman Perdana Menteri bersama 27 anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan dilaksanakan bagi memperkukuh dan memantapkan kesepakatan serta kesepaduan dalam kerajaan. - Foto PMO
PUTRAJAYA: Program pemukiman Perdana Menteri bersama 27 anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan dilaksanakan bagi memperkukuh dan memantapkan kesepakatan serta kesepaduan dalam kerajaan.
Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, program itu juga selaras dengan hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menterjemahkan agenda islah dan reformasi dalam pentadbiran kerajaan.
Menurut kenyataan itu lagi, program pemukiman itu diisi dengan sesi taklimat khas mencakupi aspek penting ke arah pemantapan penyampaian perkhidmatan dan pengukuhan tata kelola atau tadbir urus jentera kerajaan.
Taklimat tersebut menyentuh beberapa aspek merangkumi Struktur Kerajaan dan Hal Ehwal Pentadbiran Awam, Pengurusan Kewangan dan Perolehan Kerajaan serta Persidangan Antarabangsa dan Kepentingan Negara.
Selain itu, aspek Protokol Kerajaan dan Profesionalisme, Pembangunan Lestari, Senario Ekonomi dan Cabaran, serta taklimat berkaitan Komunikasi Media juga diberi penekanan dalam taklimat berkenaan.
Dalam sesi berkenaan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali turut menyampaikan taklimat Pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Anggota Jemaah Menteri semasa sesi permukiman tersebut.
Selain Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, program yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya itu turut dihadiri 10 Pegawai Kanan Kerajaan.
Astro AWANI pada Ahad melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri-menteri berkumpul di Kompleks Seri Perdana, di sini pada Ahad bagi menghadiri sesi pemukiman bersama barisan Jemaah Menteri.
Kenderaan beliau diihat memasuki bangunan pada jam 9.15 pagi yang mana sebelum itu turut kelihatan beberapa kenderaan menteri memasuki bangunan sama seawal jam 8.10 pagi.
Difahamkan, permukiman itu akan membincangkan soal hala tuju dan penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap kementerian dan telah bermula pada jam 8.30 pagi tadi.
Pertemuan itu hadir tidak sampai dua bulan selepas semua menteri memasuki kementerian masing-masing dan mula menjalankan tugas di bawah Kerajaan Perpaduan dipimpin Ahli Parlimen Tambun itu.
Selain Anwar, antara yang hadir ialah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Selain itu, ia turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu; dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.