Translate

24 October 2021

Operasi Sekolah Di Johor, Terengganu Ikut Ketetapan Fasa 4 Bermula 7 November



Operasi sekolah di Johor, Terengganu ikut ketetapan Fasa 4 bermula 7 Nov

BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Okt -- Pengoperasian institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi negeri Johor dan Terengganu akan bermula dengan mengikut ketetapan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 7 Nov ini.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengoperasian itu akan melibatkan kemasukan bagi murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 sekolah menengah, manakala institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM akan beroperasi mengikut takwim masing-masing.

"Bagaimanapun berikutan 7 Nov adalah cuti tambahan yang diperuntukkan dalam takwim KPM sempena perayaan Deepavali, maka sekolah kerajaan bawah KPM di kedua-dua negeri hanya akan memulakan operasinya pada 8 Nov.

"Kehadiran murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 sekolah menengah bagi kedua-dua negeri itu pula akan bermula pada 14 Nov," menurut kenyataan itu.

Kenyataan KPM itu susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Jumaat lepas mengenai peralihan fasa PPN bagi Johor dan Terengganu ke Fasa 4 PPN berkuat kuasa esok.

KPM menjelaskan penetapan pengoperasian institusi pendidikan bawah kementerian itu akan mengikut fasa baharu yang akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa di sesebuah negeri.

Sehubungan itu, menurut KPM pada masa ini pengoperasian institusi pendidikan di Johor dan Terengganu adalah berdasarkan ketetapan Fasa 3 PPN sehinggalah ia beralih kepada fasa seterusnya pada 7 Nov.

KPM menyarankan agar ketetapan yang dibuat itu turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED