Translate

14 February 2021

Tindakan Polis Tembak Mati Empat Suspek Ikut SOP - Video

ISU KES POLIS TEMBAK MATI 4 WARGA ASING

Tindakan polis tembak mati empat suspek ikut SOP - Ayob Khan


BERNAMA
14/02/2021 

KLUANG, 14 Feb -- Polis Johor menyifatkan tindakan anggotanya menembak mati empat lelaki dipercayai penjenayah di Batu Pahat, Jumaat lalu, adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mempertahankan diri.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata beliau yakin anggotanya mengikut SOP selepas suspek melepaskan tembakan dan mencederakan seorang pegawai dengan senjata kerambit dalam  kejadian jam 3.15 pagi itu.

“Saya harap mana-mana pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) perlu dengar dan melihat kenyataan rasmi saya sebelum membuat sebarang kenyataan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, hari ini.

Dalam masa yang sama, katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan susulan dan akan mengeluarkan satu kenyataan lengkap berhubung insiden tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Lans Koperal Bradford Bernard, 28, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 6 Jalan Kluang-Teck Wah Heng di sini, kelmarin.

Sebelum ini, sebuah NGO yang dikenali sebagai Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) menggesa Ketua Polis Johor itu merujuk semula Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) mengenai SOP melepaskan tembakan ketika menahan suspek.

Dalam kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota polis menahan sebuah kenderaan Toyota Avanza dan Perodua Myvi, masing-masing dinaiki dua lelaki, yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Ketika polis mahu membuat pemeriksaan, pemandu dan penumpang Toyota Avanza telah bertindak agresif dengan pemandunya mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.

Pada masa masa, dua suspek yang menaiki kereta Perodua Myvi bertindak menyerang polis menggunakan parang dan kerambit dalam usaha melarikan diri.

Dalam pergelutan itu, seorang daripada suspek menikam seorang pegawai polis sehingga cedera.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata jenazah mendiang akan dibawa ke Penampang, Sabah, menggunakan pesawat awam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi esok.

“Pemergian ini merupakan kehilangan besar buat polis Johor dan IPD Kluang,” katanya sambil menambah tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu berusia 58 tahun itu.

Dalam pada itu, adik mendiang, Bradson, 25, berkata abangnya itu baru sahaja mendirikan rumah tangga di Penampang, awal bulan lalu.

Menurutnya, kali terakhir mereka sekeluarga bertemu dengan mendiang adalah sebelum beliau pulang ke Johor Bahru selepas dua minggu melangsungkan perkahwinan.

“Kali terakhir kami berhubung melalui telefon dua hari sebelum kemalangan terjadi,” katanya yang bertugas sebagai Pegawai Kastam di Johor Bahru.

Ketika kejadian, Bradford, yang menunggang motosikal maut dirempuh oleh sebuah kereta dipandu seorang lelaki, dipercayai di bawah pengaruh alkohol,  selepas menamatkan tugas  di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Simpang Renggam.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED