Gajah liar masuk kedai cari makanan di R&R Titiwangsa
ASTRO AWANI
September 8, 2020 04:14 MYT
Gajah liar itu sudah berkeliaran di kawasan sekitar R&R Titiwangsa sejak beberapa hari lalu. - Foto ihsan pembaca
GERIK: Seekor gajah jantan liar dilaporkan berkeliaran di sekitar hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa Gerik dan cuba memasuki kedai berhampiran untuk mendapatkan makanan.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 malam Ahad itu disedari oleh orang awam yang berada di kawasan terbabit, menurut kenyataan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak pada Isnin.
Menurutnya, hasil maklumat daripada pemilik kedai mendedahkan, gajah liar itu sudah berkeliaran di kawasan sekitar R&R Titiwangsa sejak beberapa hari lalu.
Selain itu, hasil maklumat anggota polis Balai Bersia mendapati, gajah liar tersebut telah menjatuhkan tong sampah di kawasan sekitar dan cuba untuk masuk ke kedai bagi mendapatkan makanan.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan berlaku pada orang awam atau kerosakan kenderaan.
Pemantauan telah dijalankan di kawasan tersebut kira-kira 15 minit selepas kejadian dan mendapati gajah tersebut telah bergerak ke kawasan lain.
Sehubungan itu, kakitangan Perhilitan Gerik telah digerakkan untuk memantau kawasan sekitar dari masa ke semasa bagi memastikan ia selamat dari sebarang ancaman gajah liar.