Translate

18 September 2020

Ingkar PKPP: 26 Individu Tidak Memakai Pelitup Muka | 101 Individu Ditahan , 86 Dikompaun , 15 Direman




Operasi Benteng tahan 88 pendatang asing, empat tekong dan seorang penyeludup
BERNAMA
18/09/2020 04:13 PM


KUALA LUMPUR, 18 Sept -- Seramai 88 pendatang tanpa izin, empat orang tekong dan seorang penyeludup ditahan dalam Operasi Benteng ketika cuba menyusup masuk kedalam negara semalam, manakala lapan kenderaan darat turut dirampas dalam operasi itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 82 sekatan jalan raya dilaksanakan dalam operasi berkenaan, yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata semalam juga menyaksikan seramai 101 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dengan 86 individu dikompaun, manakala 15 lagi direman.

Dalam satu kenyataan mengenai perkembangan PKPP di sini hari ini beliau berkata kesalahan paling tinggi yang dikesan ialah tidak memakai pelitup muka yang melibatkan 26 individu, diikuti 24 individu ingkar perintah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dan 19 berkaitan penjarakan fizikal.

Sementara itu Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai hingga semalam, 30,314 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 69 hotel serta lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 9,350 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, dan 20,893 individu lagi telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 680 premis perniagaan termasuk peruncit (481), pemborong (170) dan pengilang (29).

"Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,225 pemeriksaan khas pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP dan mendapati 1,216 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala sembilan premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP," katanya.

UPDATED:

Tiada keperluan PKPD seluruh Tawau, Lahad Datu - Ismail Sabri
18/09/2020 06:16 PM


KOTA KINABALU, 18 September -- Tiada keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh Tawau dan Lahad Datu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sekiranya PKPD dilaksanakan sekalipun, ia akan dilakukan secara bersasar iaitu berdasarkan lokaliti terlibat penularan COVID-19.

“Dahulu mungkin jika ada beberapa kes di Sabah, kita tutup seluruh Sabah, jika kes berlaku di Tawau kita tutup seluruh daerah, namun kini ia tidak adil kerana kita tidak ada kes COVID-19 di Kota Kinabalu dan Sepanggar, jadi takkan kita nak buat lockdown juga.

“Kini kita fokus kepada lokaliti terlibat, contohnya jika kes COVID-19 di penjara Tawau, kita laksana PKPD di lokaliti berkenaan sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia peringkat Sabah kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau perkembangan kes di Tawau serta Lahad Datu dan sekiranya situasi meruncing di beberapa kampung, PKPD bersasar akan dilaksanakan seperti di Kedah ketika pengawalan kluster Sivagangga.

KKM, katanya, melakukan saringan setiap hari dan keputusan juga diperoleh setiap hari yang menyebabkan jangkitan kes COVID-19 di kawasan itu kelihatan banyak.


“KKM dah kenal pasti mana-mana individu yang positif COVID-19 termasuk kontak rapat mereka serta sudah mengesan lokaliti bagi tujuan saringan dilaksanakan.

“Mana-mana individu yang dikesan positif COVID-19 akan dibawa terus ke pusat rawatan,” katanya.

Ismail Sabri berkata menerusi nasihat KKM, kawasan zon hijau dan kuning juga sentiasa dipantau dan tindakan sewajarnya akan segera diambil sekiranya bertukar menjadi zon merah.

Bermula dengan Kluster Benteng LD yang diumumkan pada 1 Sept, tiga lagi kluster di Lahad Datu dan Tawau ialah Kluster Laut (Kunak, Sabah), Kluster Pulau (Kunak, Sabah) dan terbaharu Kluster Selamat (Semporna, Sabah).

-- BERNAMA




Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED