Translate

05 September 2020

COVID-19 MALAYSIA: New Cases-6 (Imported -4, Local-2) , Active Cases-150 | Total Cases-9391 | Total Deaths- 128


Kenyataan Akhbar KPK 5 September 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 21 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,113 kes (97.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 5 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat enam (6) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,391 kesOleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 150 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada enam (6) kes baharu yang dilaporkan, empat (4) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua (2) warganegara Malaysia dan dua (2) bukan warganegara. Empat (4) kes import tersebut adalah dari negara:

  • Pakistan (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur);
  • Angola (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur);
  • India (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan
  • Bangladesh (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).

Dua (2) kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia. Perincian kes adalah seperti berikut:

  • Kedah: Satu (1) kes daripada Kluster Telaga. Kluster ini akan diperincikan di bawah; dan
  • Sabah: Satu (1) kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Lahad Datu.

Sehingga kini, terdapat lima (5) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga (3) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes (1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI BAGI KLUSTER TELAGA

Ingin dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) kes baharu dilaporkan bagi Kluster Telaga di negeri Kedah. Kes ini (Kes ke-9391) merupakan kontak rapat kepada kes indeks (Kes ke-9284) di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Beliau didapati positif COVID-19 semasa saringan yang dijalankan pada 3 September 2020. Justeru, jumlah kes positif COVID-19 dalam kluster ini adalah sebanyak sembilan (9) kes. Sehingga 5 September 2020 jam 12 tengah hari, seramai 3,458 orang telah disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah ini:

  • Sembilan (9) kes dikesan positif COVID-19;
  • 2,744 individu negatif; dan
  • 705 individu masih menunggu keputusan.

Pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan.

VAKSIN COVID-19 DAN PENGIKTIRAFAN SISTEM KESIHATAN MALAYSIA

KKM ingin memaklumkan bahawa pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengadakan satu sesi sidang media pada 4 September 2020. Melalui sesi tersebut, pihak WHO menegaskan bahawa vaksin adalah berkesan dalam membendung penularan penyakit seperti cacar air (smallpox), polio dan sebagainya. Namun begitu, keberkesanan dan keselamatan vaksin adalah faktor penting dalam penggunaan vaksin. Perkara ini tidak boleh diambil ringan dan justeru itu, bagi menjamin faktor-faktor tersebut, vaksin perlu melalui beberapa ujian dan fasa. Sehingga hari ini, masih tiada vaksin COVID-19 yang disahkan berkesan dan selamat oleh pihak WHO.

Pihak WHO turut menjelaskan beberapa langkah pencegahan COVID-19 yang boleh diamalkan oleh setiap individu dalam menghalang jangkitan COVID-19, dan ianya selari dengan nasihat-nasihat yang sering ditekankan oleh pihak KKM.

Dalam sorotan berita WHO pada hari yang sama juga, Kerajaan Malaysia telah diiktiraf mempunyai sistem kesihatan yang kuat dan mempunyai liputan yang sejagat (UHC). Sistem kesihatan di Malaysia juga diiktiraf mempunyai asas-asas yang kukuh dalam menangani wabak COVID-19 ini melalui pengalamannya yang lepas. KKM menghargai pengiktirafan WHO ini dan terus komited dalam memperkukuhkan sistem kesihatan negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:

  • Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
  • Amalkan 3W : iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
  • Elakkan bersalaman / bersentuhan termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan cara kebiasaan bersalam;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:

  • S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O : Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P : Penjarakan fizikal (physical distancing) sekurang-kurangnya 1 meter diamalkan pada setiap masa.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

5 September 2020 @ 5.00 petang.

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 5 SEPTEMBER 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS032
KEDAH1224
PULAU PINANG0136
PERAK0269
SELANGOR02,177
NEGERI SEMBILAN01,037
MELAKA0262
JOHOR0752
PAHANG0371
TERENGGANU0114
KELANTAN0160
SABAH1433
SARAWAK0699
W.P. KUALA LUMPUR4 (4)2,603
W.P. PUTRAJAYA099
W.P. LABUAN023
JUMLAH KESELURUHAN6 (4)9,391

*( x ) adalah merujuk kepada kes-kes import


Image
PERINCIAN KES BAHARU (6)

KL-4 1 WN pulang dari Angola 1 WN pulang dari Pakistan 1 BWN tiba dari India 1 BWN tiba dari Bangladesh KEDAH-1 1 WN dari Kluster Telaga SABAH-1
1 WN kes SARI

Image

1 kes baharu dikesan dalam Kluster Telaga. Jumlah positif kini adalah; 9 kes. Setakat ini, 3,458 telah disaring. negatif - 2,744 masih menunggu keputusan - 705

Image

Image

Pergerakan 14 hari taburan kes Covid-19 mengikut daerah di Malaysia Daerah Sik kembali ke zon hijau. Manakala kes di Baling menurun kepada 2 kes berbanding 5 kes semalam.

Image

Image

Terkini COVID-19, 5 Sept 2020 Jumlah discaj baru:21 Jumlah kumulatif discaj:9113 (97%) Jumlah kes baru;6 Jumlah kumulatif:9391 Jumlah kes aktif:150 Kes tempatan:2 (2 WN) Kes import:4 (2 WN, 2 BWN) Jumlah kematian:0 Jumlah kematian:128 (1.36%) Jumlah kes di ICU:5 intubated: 3

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED