Kenyataan Akhbar KPK 9 September 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia
STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat tujuh (7) kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,143 kes (95.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 9 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 24 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,583 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 312 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Ingin dimaklumkan daripada 24 kes baharu yang dilaporkan, enam (6) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga (3) warganegara Malaysia dan tiga (3) bukan warganegara. Enam (6) kes import tersebut adalah dari negara:
- Bangladesh (2 kes: 1 kes di Negeri Sembilan, 1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur);
- China (1 kes di Sabah);
- Indonesia (1 kes di Sabah);
- Singapura (1 kes di Sarawak); dan
- Korea Selatan (1 kes di Selangor).
Ingin dimaklumkan bahawa kes import yang melibatkan bukan warganegara telah memasuki Malaysia sebelum pelaksanaan sekatan kemasukan yang mula berkuatkuasa pada 7 September 2020. Dua (2) kes dari Bangladesh tiba di Malaysia pada 6 September 2020 dan telah disaring pada hari yang sama. Manakala satu (1) kes dari China pula tiba di Malaysia pada 5 September 2020 dan disaring pada 6 September 2020. Keputusan ujian saringan mereka dilaporkan positif COVID-19 hari ini. Begitu juga dengan beberapa kes import yang dilaporkan pada 8 September 2020.
Daripada 18 kes penularan di dalam negara, 16 adalah di kalangan warganegara Malaysia dan dua (2) adalah bukan warganegara. Perincian kes adalah seperti berikut:
- Kedah – 16 kes:
- 13 kes daripada Kluster Sungai;
- Satu (1) kes daripada Kluster Tawar;
- Satu (1) kes daripada Kluster Telaga; dan
- Satu (1) kes saringan bergejala di Hospital Sultanah Bahiyah.
- Sabah: Dua (2) kes daripada Kluster Benteng LD.
Kluster-kluster ini akan diperincikan di bawah.
Sehingga kini, terdapat tujuh (7) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat (4) kes memerlukan bantuan pernafasan.
Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes (1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
STATUS TERKINI EMPAT BUAH KLUSTER
KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat pertambahan kes bagi empat (4) buah kluster iaitu Kluster Sungai, Kluster Telaga, Kluster Tawar dan Kluster Benteng LD pada hari ini. Pecahan saringan dan situasi terkini mengikut kluster tersebut adalah seperti berikut:
- Kluster Sungai (jumlah saringan 1,091):
- Kedah (1,056 disaring):
- 38 kes dikesan positif COVID-19 (13 kes baharu);
- 432 individu negatif; dan
- 586 individu masih menunggu keputusan.
- Pulau Pinang (31 disaring):
- Satu (1) individu negatif; dan
- 30 individu masih menunggu keputusan.
- Perlis (4 disaring):
- Satu (1) kes dikesan positif COVID-19; dan
- Tiga (3) individu masih menunggu keputusan.
- Kedah (1,056 disaring):
- Kluster Telaga (jumlah saringan 4,584):
- Kedah (4,537 disaring):
- 11 kes dikesan positif COVID-19 (1 kes baharu);
- 4,399 individu negatif; dan
- 127 individu masih menunggu keputusan.
- Pulau Pinang (47 disaring):
- 46 individu negatif; dan
- Satu (1) individu masih menunggu keputusan.
- Kedah (4,537 disaring):
- Kluster Tawar (jumlah saringan 18,233):
- Kedah (17,659 disaring):
- 68 kes dikesan positif COVID-19 (1 kes baharu); dan
- 17,591 individu negatif.
- Pulau Pinang (563 disaring);
- 11 kes dikesan positif COVID-19; dan
- 552 individu negatif.
- Perak (kesemua 11 saringan adalah negatif).
- Kedah (17,659 disaring):
- Kluster Benteng LD, Sabah (jumlah saringan 2,349):
- Tawau (1,814 disaring):
- 43 kes dikesan positif COVID-19 (2 kes baharu);
- 625 individu negatif; dan
- 1,146 individu masih menunggu keputusan.
- Lahad Datu (535 disaring):
- 87 kes dikesan positif COVID-19;
- 287 individu negatif; dan
- 161 individu masih menunggu keputusan.
- Tawau (1,814 disaring):
RISIKO PENULARAN KES POSITIF COVID-19 DI KALANGAN PETUGAS KESIHATAN DAN LANGKAH PENCEGAHAN JANGKITAN
Sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan kes positif COVID-19 di kalangan petugas barisan hadapan terutamanya petugas kesihatan dari sektor awam dan swasta. Keadaan ini adalah membimbangkan kerana mereka memainkan peranan yang penting sebagai tulang belakang sistem kesihatan Negara.
Hasil siasatan mendapati bahawa kes positif COVID-19 di kalangan petugas kesihatan KKM adalah kebanyakannya berpunca daripada penularan di kalangan petugas kesihatan sendiri. Ini menyumbang sebanyak 53 peratus daripada keseluruhan kes yang melibatkan petugas kesihatan, bermakna lebih separuh daripada petugas kesihatan yang dijangkiti COVID-19 telah berjangkit daripada petugas kesihatan lain. Jangkitan daripada komuniti adalah sebanyak 22 peratus, manakala jangkitan semasa pengurusan pesakit yang belum diketahui status COVID-19 pula adalah sebanyak 17 peratus. Setakat ini, tiada petugas kesihatan KKM yang dijangkiti COVID-19 semasa pengurusan pesakit disahkan COVID-19 di wad COVID-19 atau di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Justeru itu, adalah amat penting bagi petugas kesihatan untuk memastikan langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID-19 diambil pada setiap masa, terutamanya semasa bertugas. Penjarakan fizikal (physical distancing) yang selamat di tempat bertugas iaitu di kalangan rakan sekerja dan semasa pengurusan pesakit sewajarnya diamalkan sepanjang waktu bekerja. Begitu juga dengan kebersihan kawasan guna sama seperti kaunter jururawat, tempat makan, pantri, ruang solat dan tandas kakitangan.
Seperti yang sering ditekankan juga, KKM ingin mengingatkan semua petugas kesihatan KKM yang bertugas di hospital mahupun Klinik Kesihatan agar memakai alat pelitup muka jenis 3-ply surgical mask sepanjang waktu bekerja. Petugas kesihatan juga perlu mengamalkan kebersihan tangan (hand hygiene), etika batuk (cough etiquette) dan memakai alat pelindung diri (Personal Protective Equipment, PPE) yang bersesuaianmengikut keperluan semasa menjalankan tugas.
KKM ingin menyarankan agar amalan-amalan yang dinyatakan di atas turut diikuti oleh pengamal perubatan dan petugas kesihatan swasta dan di universiti. Ini termasuk penggunaan 3-ply surgical mask semasa mengendalikansemua pesakit dan sepanjang waktu di tempat kerja. Pengamal perubatan swasta juga perlu menggunakan PPE yang sesuai apabila menjalankan sebarang prosedur klinikal dan bagi kes yang disahkan positif COVID-19.
KKM menyeru agar semua petugas kesihatan samada di sektor awam mahupun swasta supaya mengambil langkah-langkah berikut di rumah serta di tempat awam, misalnya:
- Mengamalkan dan membudayakan kebiasaan baharu semasa berada di rumah iaitu;
- Mengasingkan diri sekiranya bergejala;
- Memakai alat pelitup muka sekiranya bergejala;
- Memastikan penjarakan fizikal dan kebersihan tangan sentiasa diamalkan semasa menerima kunjungan tetamu; dan
- Sekiranya mengalami gejala, kekal berada di rumah dan tidak mengunjungi tempat awam. Mereka juga perlu segera mendapatkan rawatan.
- Mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan semasa berada di tempat awam, misalnya:
- Memakai alat pelitup muka semasa berada di tempat awam yang sesak dan sempit di mana penjarakan fizikal tidak dapat diamalkan;
- Menggunakan aplikasi MySejahtera setiap kali memasuki premis awam;
- Melakukan saringan kesihatan dengan mengambil suhu badan dan memeriksa gejala setiap kali memasuki premis awam; dan
- Mengikuti SOP khusus misalnya di restoran, rumah ibadat, hotel dan lain-lain sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:
- Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
- Amalkan 3W : iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
- Elakkan bersalaman / bersentuhan termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan cara kebiasaan bersalam;
- Amalkan etika batuk dan bersin;
- Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
- Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
- Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.
Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:
- S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
- O : Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
- P : Penjarakan fizikal (physical distancing) sekurang-kurangnya 1 meter diamalkan pada setiap masa.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
9 September 2020 @ 5.00 petang.
BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA
(SEHINGGA 9 SEPTEMBER 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)
NEGERI | BILANGAN KES BAHARU *( ) | BILANGAN KES KUMULATIF |
PERLIS | 0 | 33 |
KEDAH | 16 | 266 |
PULAU PINANG | 0 | 138 |
PERAK | 0 | 269 |
SELANGOR | 1 (1) | 2,189 |
NEGERI SEMBILAN | 1 (1) | 1,039 |
MELAKA | 0 | 262 |
JOHOR | 0 | 752 |
PAHANG | 0 | 371 |
TERENGGANU | 0 | 114 |
KELANTAN | 0 | 160 |
SABAH | 4 (2) | 552 |
SARAWAK | 1 (1) | 700 |
W.P. KUALA LUMPUR | 1 (1) | 2,616 |
W.P. PUTRAJAYA | 0 | 99 |
W.P. LABUAN | 0 | 23 |
JUMLAH KESELURUHAN | 24 (6) | 9,583 |
*( ) adalah merujuk kepada kes-kes import
TERKINI: #COVIDー19 di Malaysia - 9 September 2020 Kes baharu: 24 (18 Tempatan) Sembuh: 9143 ICU: 7 Kes Seluruh: 9583 (312 Aktif) Kematian: 128 Kebanyakan Kes: Kluster Sungai (Kedah): 13 kes Kluster Benteng (Sabah): 2 kes
Zon merah meningkat kepada tiga dan yang terbaharu Kota Setar di Kedah sertaTawau di Sabah. Sebelum ini, hanya Lahad Datu dalam kategori zon merah. 7 negeri zon hijau - Kelantan, Terengganu, Johor, Negeri Sembilan, WP, Perak dan terbaharu Perlis.
Terkini COVID-19 setakat 9 September 2020 Jumlah discaj baru: 7 Jumlah kumulatif discaj: 9143 (95.4%) Jumlah kes baru; 24 Jumlah kumulatif: 9583 Jumlah kes aktif: 317 Kes tempatan:18 Kes import: 6 Jumlah kematian:0 Jumlah kumulatif:128 (1.35%) Jumlah kes di ICU:7 intubated:4