Translate

11 September 2020

2020 PRN Sabah: PM Muhyiddin berjumpa dengan pemimpin PN dan BN





PRN Sabah: Muhyiddin adakan perjumpaan dengan pemimpin PN, BN

11/09/2020 11:48 AM



KOTA KINABALU, 11 Sept -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan perjumpaan dengan pemimpin daripada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu tiba pada pukul 10.35 pagi, disambut oleh pemimpin-pemimpin berkenaan, sebelum beliau mengadakan mesyuarat tertutup dengan lebih 20 pemimpin, dan perjumpaan masih berlangsung ketika berita ini ditulis.

Antara yang hadir Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO, Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup dan Setiausaha Agong PBS Datuk Jahid Jahim.


Turut hadir Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor.

PRN Sabah bakal menyaksikan pertandingan bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan esok sebagai hari penamaan calon dan 26 Sept ini sebagai hari mengundi.

-- BERNAMA




11/09/2020 01:20 PM



KOTA KINABALU, 11 Sept -- Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini bersetuju secara konsensus untuk mengelak pertembungan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO berkata semua parti terlibat juga telah bersetuju membentuk solidariti bagi menghadapi PRN Sabah secara bersama.

"Pengumuman (calon) diadakan semalam nampak pertembungan sesama sendiri dan ini akan diselesaikan sesegera yang mungkin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.



Terdahulu beliau menghadiri majlis perjumpaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama lebih 20 pemimpin daripada BN, PN dan PBS di sebuah hotel di sini.

Semalam, media melaporkan PN mengumumkan bertanding di 29 kerusi pada PRN Sabah dan berkemungkinan besar bertembung dengan BN di tiga kawasan iaitu Paginatan, Tulid dan Sook.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata semua parti itu juga setuju untuk melancarkan 'Aku Janji' secara bersama pada Hari Malaysia, 16 Sept ini bagi memberitahu tawaran buat rakyat Sabah sekiranya gabungan itu menang PRN Sabah.


"Aku Janji itu tawaran baharu untuk Sabah terutama pengundi-pengundi dan persetujuan bersama parti-parti ini akan dimuktamadkan," katanya.

Selain itu katanya, semua parti yang terlibat akan mengkoordinasi gerak kerja antara parti secara bersama supaya tugas dalam PRN Sabah dapat dijalankan dengan sempurna.

Dalam pada itu, Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata antara inti pati perjumpaan itu adalah mengenai mewujudkan satu jawatankuasa penyelaras dalam menghadapi PRN Sabah.


Katanya perkara itu disambut baik oleh semua yang hadir dalam usaha memantapkan lagi kerjasama antara semua parti dengan satu agenda iaitu memenangi pilihan raya itu.

“Amanat (Muhyiddin) memberikan kita semangat untuk kerjasama dan pastikan kita menang,” katanya.

-- BERNAMA


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED