Translate

11 September 2020

12 kes kesalahan penggunaan logo halal dikesan di N.Sembilan





BERNAMA
11/09/2020 06:16 PM



SEREMBAN, 11 Sept -- Sebanyak 12 kes pelanggaran Perakuan dan Penandaan Halal dan Takrif Halal dikesan di Negeri Sembilan, menerusi pemeriksaan terhadap 246 premis di negeri itu setakat 9 Sept.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sembilan (KPDNHEP NS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pemeriksaan itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Ia memaklumkan antara kesalahan yang dikesan termasuklah, menggunakan logo halal syarikat pembekal bahan mentah, mengunakan sijil halal yang telah tamat tempoh, menggunakan perbahasan halal dan mempamerkan Tauliah Sembelihan JHEAINS, di premis makan.

“Para peniaga diingatkan supaya tidak menggunakan logo halal, sijil halal atau mempamerkan apa-apa perakuan tanpa kebenaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Penggunaan sijil halal atau logo halal adalah untuk pemegang sijil halal sahaja, oleh itu penggunaannya oleh peniaga yang bukan pemegang sijil halal adalah satu kesalahan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, menerusi pemeriksaan premis pada 9 Sept lepas, KPDNHEP NS mengesan dua premis melakukan kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, kerana menggunakan tanda halal pada iklan kedai dan menggunakan logo halal pembekal barangan yang tamat tempoh.

“Hukuman bagi kesalahan ini jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya bagi individu, manakala bagi pertubuhan perbadanan pula didenda sehingga RM250,000,” jelas kenyataan itu.

Ia turut menjelaskan, di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, menggunakan apa-apa petunjuk yang menunjukkan makanan tersebut boleh dimakan oleh orang Islam, merupakan satu kesalahan.

“Hukuman bagi kesalahan ini jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu. Manakala hukuman bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan ialah denda sehingga RM5 juta,” kata kenyataan itu.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED