JOHOR BAHRU, 18 Julai -- Keseronokan 13 lelaki berlumba dan melakukan aksi bahaya di jalan raya tidak berpanjangan, apabila kesemuanya ditahan dalam 'Ops Samseng Jalanan' di Jalan Kota Masai, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, di sini, petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor Supt M.Kumarasan berkata, operasi pada 6 petang itu merupakan hasil kerjasama JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.
“Kesemua remaja dan lelaki yang ditahan itu berumur antara 14 dan 23 tahun. Sebanyak 20 saman meliputi 43 kesalahan dikeluarkan terhadap kesemua mereka,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Kumarasan berkata, berdasarkan maklumat, lokasi di Jalan Kota Masai itu dipercayai menjadi tempat golongan remaja berlumba dan melakukan aksi-aksi bahaya, seperti ‘wheelie’, zig zag dan lain-lain pada waktu petang.
Katanya, hasil ujian air kencing ke atas kesemua mereka disahkan negatif terhadap dadah dan pihaknya turut menyita 11 motosikal dan kesemua yang ditahan, kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 42 (1) dan Sekyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA