Translate

03 July 2020

Penolong Pengarah Imigresen ditahan disyaki terlibat sindiket seludup pendatang (Video)



 

 03/07/2020 01:42 PM



JOHOR BAHRU, 3 Julai -- Seorang Penolong Pengarah Imigresen wanita yang bertugas di salah sebuah kompleks imigresen di negeri ini ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan migran, dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pegawai kanan berumur 50 tahun itu ditahan di tempat tugasnya oleh anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, sebagai lanjutan kepada penahanan tiga pegawai imigresen pada 23 Jun lepas, yang dipercayai terbabit dalam kes sama.

Penahanan suspek merupakan tangkapan pegawai berpangkat paling tinggi yang terlibat dengan kes sindiket penyeludupan pendatang setakat ini, dan suspek disiasat mengikut Seksyen 26 (A) Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dengan mengguna pakai prosedur siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.


“Modus operandi suspek adalah dengan menyediakan cop imigresen Malaysia yang disyaki palsu bagi menguruskan penyeludupan warga Indonesia yang telah tamat tempoh pas lawatan sosial (PLS) sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan bertolak ansur dan tidak melindungi mana-mana pihak berjawatan tinggi sekiranya didapati terlibat dalam sindiket penyeludupan.

“Polis Johor tidak melihat status, kalau terlibat kita tangkap tidak mengira kedudukan. Ada pihak cuba kaitkan isu tangkapan (sindiket) ini dengan mengatakan bahawa polis menganiaya,” katanya.


“Tidak timbul isu itu kerana kita hanya jalankan siasatan dan menyiapkan kertas siasatan, setelah itu dipanjangkan kepada pejabat Peguam Negara dan mahkamah yang akan tentukan sama ada mereka bersalah atau pun tidak,” tambahnya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED