Translate

03 July 2020

Hina Sultan Johor dan TMJ, pesara didenda RM5,000



03/07/2020 03:40 PM



KAJANG, 3 Julai -- Akibat membuat kenyataan menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi aplikasi WhatsApp, seorang pesara didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mahadi Ibrahim, 58, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan bersalah, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, bapa kepada lima orang anak itu didakwa membuat kenyataan tersebut melalui aplikasi WhatsApp dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 10.48 malam, 4 Jun lepas di Taman Semenyih Indah daerah Hulu Langat.


Dia dituduh mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam yang mewakili Mahadi merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman denda minimum kerana dia penanggung tunggal keluarga, selain mempunyai penyakit jantung serta darah tinggi yang memerlukannya membuat rawatan susulan di hospital setiap bulan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin berkata bahawa sebagai rakyat Malaysia perlu berpegang teguh kepada rukun negara, satu daripadanya adalah kesetiaan kepada raja dan negara.


"Institusi Diraja perlulah dihormati dan tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Saya mohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dapat dikenakan kepada OKS," katanya.

Mahadi membayar denda tersebut.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED