11/03/2020 12:33 PM
KUALA LUMPUR, 11 Mac -- Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menjalankan siasatan dari pelbagai sudut berhubung kes 12 pegawai dan anggota polis di Pulau Pinang yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.
Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata, siasatan itu melibatkan pemilikan aset, dokumen pekerjaan dan pergerakan anggota yang terbabit sama ada mereka mematuhi Peraturan dan Standard Operasi (SOP) Polis Diraja Malaysia.
“Jika ada antara mereka tidak mematuhi peraturan, tindakan tatatertib boleh diambil. Selain itu, sekiranya dituduh di mahkamah, mereka akan dikenakan hukuman tahan kerja,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Bagaimanapun, Zamri berkata tindakan tahan kerja boleh diambil atas dasar kepentingan awam dan tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan terhadap anggota terbabit.
Semalam, Bernama melaporkan 12 pegawai dan anggota polis di Pulau Pinang ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah dan terlibat dalam kes salah guna kuasa.
-- BERNAMA
12 pegawai trafik direman tujuh hari
BERITA HARIAN
Oleh Audrey Dermawan
bhnews@bh.com.my
GEORGE TOWN: Seramai 12 pegawai Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Polis Pulau Pinang yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit rasuah, ditahan reman tujuh bermula hari ini.
Perintah reman terhadap mereka dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Nur Fadrina Zulkhairi.
Mereka ditahan reman bagi membantu siasatan kerana menerima suapan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, kesemua mereka yang digari secara berpasangan, dibawa dengan van dan kereta SPRM, tiba di Mahkamah Majistret di sini, jam 10.30 pagi ini.
Sumber berkata, antara pangkat pegawai yang ditahan itu termasuk Superintendan, Asisten Superintendan dan Inspektor.
Mereka ditahan di pejabat masing-masing yang terletak di ibu pejabat kontinjen polis Pulau Pinang dan ibu pejabat polis daerah di sebelah Seberang Perai.
Difahamkan, kumpulan anggota dan pegawai terbabit menerima suapan daripada syarikat pengangkutan supaya tidak mengambil tindakan terhadap pelbagai kesalahan yang dilakukan pemandu lori masing-masing.
Hasil siasatan mendapati, jumlah jumlah suapan dikumpul mereka mencecah sehingga RM500,000 dan masing-masing menerima di antara RM10,000 hingga RM25,000 sebulan.