9 dron, Komando VAT 69 sertai operasi cari remaja Ireland
Bernama
-August 9, 2019 11:18 PM
Pasukan mencari dan menyelamat meneliti peta susur Sungai Berembun, Kampung Pantai, bagi mengesan Nora Anne Quoirin yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu. (Gambar Bernama)NILAI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja Ireland yang dilaporkan hilang Ahad lalu, diperhebatkan lagi dengan penyertaan pasukan elit polis, Komando VAT 69.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Che Zakaria Othman berkata 2 pegawai dan 21 anggota VAT 69 melaporkan diri di sini, hari ini.
“Kami akan guna apa juga sumber manusia yang kita ada. VAT 69 adalah pasukan elit yang mempunyai kemahiran dan kebolehan untuk membantu operasi ini,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai, Seremban berhubung usaha mencari Nora Anne Quoirin, 15.
Tiga anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dari Cheras, Kuala Lumpur turut membantu operasi hari ini, menjadikan kekuatan anggota dalam operasi itu mencecah 261 orang.
Zakaria berkata, operasi SAR itu diteruskan malam ini dengan penggunaan 9 dron milik polis serta swasta yang dilengkapi teknologi pengesan haba.
Selain polis, agensi keselamatan lain adalah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praaq, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Perhutanan negeri.
Nora Anne yang tiba bersama ibu bapanya Sabtu lalu untuk percutian 2 minggu di sebuah resort di sini, disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada keesokannya.
Zakaria berkata, tiada sebarang petunjuk kukuh ditemui setakat ini dan menafikan dakwaan pasukan SAR menemui kesan tapak kaki mangsa seperti dilaporkan beberapa media.
Katanya, skop siasatan turut merangkumi aspek komunikasi, termasuk log panggilan dan e-mel resort berkenaan.
Ditanya sama ada tingkap yang dipercayai digunakan Nora Anne untuk keluar boleh dibuka dari luar atau sebaliknya, beliau berkata, ia boleh dibuka dari luar jika tidak berkunci.
“Setakat ini, kes masih diklasifikasikan siasatan orang hilang dan elemen Jabatan Siasatan Jenayah dilibatkan sejak hari pertama operasi. Setiap hari ia ditingkatkan, termasuk kerjasama dengan Interpol.”