Translate

04 November 2018

Penyokong Bola Sepak Perak Desak Presiden PAFA Letak Jawatan Selepas Gambarnya Dengan Piala Malaysia Di Kolam Renang Menjadi Viral









Penyokong bola sepak Perak desak Presiden Pafa letak jawatan

MUHAMAD TARMIZE MOHD. NOR
04 November 2018 12:51 PM




Orang ramai menurunkan tanda tangan sebagai menunjukkan sokongan mereka mendesak Presiden Pafa, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim meletakkan jawatan selepas beberapa tindakannya yang tidak menghormati Piala Malaysia baru-baru ini, di pasar Memory Lane, Jalan Horley, Ipoh pagi tadi.




IPOH - Penyokong tegar bola sepak Perak mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnian Abdul Munaim agar beliau melepaskan jawatan tersebut selepas beberapa tindakannya yang tidak menghormati Piala Malaysia.


Sehubungan itu, sebahagian penyokong yang tidak berpuas hati dengan tindakan Presiden itu bertindak mengumpul tanda tangan sebagai tanda sokongan bagi memulakan petisyen mendesak pengunduran Hasnul Zulkarnain.


Salah seorang penyokong setia yang telah menyokong bola sepak Perak sejak 80-an, Mohd. Jefferey Amin Abd Hamid berkata, kempen mengumpul tanda tangan yang telah bermula sejak semalam itu berjaya mengumpulkan lebih 2,000 tanda tangan sehingga pukul 11 pagi tadi.

Katanya, para penyokong amat kecewa dengan sikap yang ditunjukkan Hasnul Zulkarnain yang disifatkan tidak menghormati piala paling berprestij di Malaysia itu.

“Perbuatan Presiden Pafa yang membawa piala yang dimenangi para pemain dengan bersusah payah itu ke mana sahaja dia pergi menunjukkan dia sangat tidak menghormati piala itu sendiri.

“Tindakan memalukan dengan bergambar dengan piala di tepi kolam dan berarak tanpa pemain tersebut tidak patut dibuat oleh seorang yang bergelar Presiden persatuan bola sepak,” katanya ketika ditemui pemberita di pasar Memory Lane di Jalan Horley di sini pagi tadi.

Tambah Mohd. Jefferey Amin, petisyen mendesak Presiden meletakkan jawatan itu akan dihantar ke pejabat Pafa pada esok.

“Kami berharap lebih ramai penyokong bola sepak Perak menunjukkan tanda tidak puas hati dengan menandatangangi petisyen tersebut.

“Selain itu, desakan melalui laman web www.change.org juga telah dilakukan sejak semalam dan akan berakhir pada pukul 12 tengah malam ini,” katanya.

Ketidakpuasan hati para penyokong bola sepak Malaysia terutamanya peminat di Perak semakin memuncak apabila tindakan tidak wajar Presiden Pafa itu menjadi tular di laman-laman sosial sejak beberapa hari lalu walaupun beliau telah meminta maaf atas tindakan tersebut. - K! ONLINE
Gambar kontroversi yang menimbulkan kemarahan orang ramai.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED