Gobind Singh berpotensi teruskan legasi politik Karpal, terajui DAP ikut acuan semasa
Bernama
18/03/2025

Gobind Singh (kiri) bersalaman dengan Anthony Loke (dua, kiri) selepas menerima undian tertinggi pada pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP pada pada Kongres Ke-18 DAP di Shah Alam, Ahad lalu. - Gambar Bernama
GEORGE TOWN: Berbekalkan pengalaman mentadbir urus pada pelbagai peringkat, Gobind Singh Deo yang dipilih sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan baharu dilihat berupaya menerajui parti dengan meneruskan legasi politik "Harimau Jelutong", siapa lagi kalau bukan ayahnya, mendiang Karpal Singh.
Gobind yang merupakan anak kedua daripada lima beradik juga berpotensi mengemudi parti berusia 59 tahun itu selari dengan landskap politik tanah air yang kian berubah serta mencabar menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebagai parti dalam blok kerajaan.
Penganalisis politik Profesor, Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, Menteri Digital itu mempunyai ideologi yang jelas serta pengalaman pentadbiran peringkat parti, negeri, Pusat dan juga sebagai anggota Kabinet.
Pensyarah Kanan Sosiologi Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berpandangan, Gobind dan mendiang Karpal memimpin DAP pada waktu yang berbeza, tetapi muncul pada masa yang sesuai dengan perubahannya.
"Karpal muncul ketika bergelut untuk naikkan sokongan dan imej parti ketika menjadi pembangkang. Kini, DAP sudah berada dalam kerajaan dan Gobind perlu ubah suai keperluan, kemahuan serta memeta pemikiran ahli parti mengikut acuan kedudukan semasa.
"Selain itu, Gobind juga perlu membina masa depan yang lebih signifikan supaya DAP kekal sebagai antara parti siasah negara," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sivamurugan berkata, kemenangan Gobind yang meraih undi tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada Ahad sehingga dilantik menjadi Pengerusi amat bermakna lebih-lebih lagi selepas gagal mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Selangor pada Pemilihan DAP negeri bagi penggal 2024-2027, tahun lepas.
Katanya, Gobind juga mampu menyelaraskan usaha Setiausaha Agung parti, Anthony Loke dan pada waktu yang sama memastikan perubahan dalam kesinambungan untuk DAP menjadi parti yang terus memainkan peranan di dalam dan luar kerajaan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jamaie Hamil berkata, pemilihan Gobind sebagai Pengerusi DAP bukan sesuatu yang mengejutkan kerana Ahli Parlimen Puchong itu bukan calang-calang orangnya dalam parti selain berkecimpung dalam arena politik negara sejak ayahnya menjadi Ahli Parlimen.
Beliau berkata, Gobind juga mempunyai aura dan pengaruh daripada Karpal yang menyakinkan perwakilan parti untuk mengangkat beliau sebagai pengerusi selain usianya yang muda bagi menerajui parti bersama barisan kepimpinan yang majoritinya muda bagi mencorakkan masa depan DAP.
Penganalisis politik itu berkata, Gobind dan Karpal mempunyai persamaan dari segi ketegasan khususnya ketika di Parlimen sebagai pembangkang mahupun kerajaan selain mempunyai pemikiran yang kritis dan membangun, bukannya mengkritik atau memfitnah.
"Bila ada sesuatu isu, beliau akan bertanya kepada pihak yang berkenaan di dalam Parlimen dan minta jawapannya, kemudian akan memberikan pandangan ataupun idea untuk memperbaik sesuatu isu yang muncul. Hal itu lebih kurang sama dengan ayahnya.
"Tetapi, kalau nak dikatakan sama ada Gobind akan mengikuti 100 peratus kekentalan ataupun kekerasan ayahnya di Parlimen, saya fikir tidak kerana masa itu sudah berlalu, sekarang ini sudah masanya politik Malaysia cukup dinamik," katanya.
Turut senada ialah veteran DAP, Datuk Seri Phee Boon Poh yang berkata, Gobind pasti akan mengemudi DAP dengan meneruskan serta mengembangkan prinsip-prinsip dan tunjuk ajar mendiang ayahnya sekali gus mengekalkan kestabilan dalam parti berdasarkan landskap politik tanah air yang semakin dinamik.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu itu berpandangan., Gobind mampu mencontohi perwatakan Karpal ketika mendepani pergolakan dalaman parti, seperti KOKS (Kick Out Kit Siang/Karpal Singh) pada sekitar 1995 dan 1996.
"Prinsip DAP tetap sama cuma sekarang cara yang digunakan adalah lain, lebih kepada rundingan. Saya juga meminta semua ahli parti agar memberikan sokongan kepada Gobind, Anthony dan CEC yang baharu sebagai dorongan kepada kepimpinan generasi ketiga (3G) parti ini termasuk wanita dan belia," katanya.
Dalam pemilihan CEC yang berlangsung bersempena dengan Kongres Kebangsaan DAP ke-18 pada Ahad, Gobind dipilih sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan yang baharu menggantikan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng manakala Loke mengekalkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung bagi penggal 2025-2028.
Mendiang Karpal maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Gua Tempurung, Gopeng, Perak pada Mac 2014 pada usia 74 tahun.
Mendiang yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Jelutong dari 1978 hingga 1990 dan Bukit Gelugor dari 2004 hingga 2014, merupakan Pengerusi Kebangsaan DAP yang ketiga dan menjawat jawatan berkenaan sejak 2004 sehingga meninggal dunia.
-- BERNAMA