Translate

18 December 2024

Syarikat minyak sawit China dipelawa teroka peluang di Malaysia - Johari



Syarikat minyak sawit China dipelawa teroka peluang di Malaysia - Johari

Bernama

18/12/2024


Johari berucap semasa Sesi Kepimpinan 4 bertajuk "Sinergi Strategi dalam Industri Perladangan dan Komoditi : Mencarta Laluan Masa Depan untuk Malaysia dan China" yang diadakan sempena MSC2024 hari ini. - Gambar Bernama


KUALA LUMPUR: Malaysia mempelawa syarikat minyak sawit China untuk meneroka peluang dalam industri di negara ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata beliau percaya potensi perkongsian dengan syarikat China yang berpangkalan di Malaysia akan berjaya memandangkan stok bahan mentah yang banyak di negara ini manakala pemain China mempunyai rangkaian pasaran yang meluas.

"Terdapat tiga bidang penting yang Malaysia berminat untuk mengalu-alukan pelabur berpotensi untuk meneroka. Pertama, kami ingin memanfaatkan konsep ekonomi sirkular dalam industri minyak sawit. Secara khusus, sisa buangan boleh ditukarkan menjadi tenaga hijau dalam bentuk tenaga biojisim dan biogas.

"Tenaga biojisim boleh diperoleh dengan membakar produk hasil sampingan sawit seperti gentian mesocarp, tempurung isirung sawit dan tandan buah kosong - wap yang dijana kemudian akan menggerakkan turbin dan menjana tenaga elektrik," kata Johari.

Beliau berkata demikian semasa Sesi Kepimpinan 4 bertajuk "Sinergi Strategi dalam Industri Perladangan dan Komoditi : Mencarta Laluan Masa Depan untuk Malaysia dan China" yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MSC2024) di sini, hari ini.

Menurutnya, biogas pula boleh diperoleh melalui pemerangkapan gas metana daripada efluen kilang kelapa sawit (POME), sebagai contoh kilang dengan kapasiti operasi sekurang-kurangnya 60 tan sejam boleh menjana antara 5-7 megawatt (MW).

"Jika kira-kira 50 peratus kilang di negara ini boleh dilengkapi dengan kemudahan pemerangkapan biojisim dan biogas, kita akan dapat menjana sekitar 1,100 MW tenaga di lebih 200 lokasi di seluruh negara," katanya.

Beliau juga berkata bahan api penerbangan mampan (SAF), yang diperkenalkan sebagai inisiatif untuk usaha penyahkarbonan sektor penerbangan, merupakan satu lagi bidang yang menawarkan banyak peluang kepada kedua-dua negara.

Menjelang 2027, Johari berkata kerajaan merancang untuk mewajibkan SAF bagi semua pesawat yang melakukan perjalanan ke Malaysia, dengan mandat gabungan yang dicadangkan bermula pada 1.0 peratus.

"Kedua, selaras dengan matlamat negara untuk meningkatkan kecekapan dan pengeluaran tanpa meluaskan kawasan tanah, kita sentiasa mencari teknologi baharu dalam melaksanakan pertanian kejituan, seperti pertanian pintar dan membuat keputusan berdasarkan data, serta meningkatkan mekanisasi dan automasi merentas rantaian bekalan.

"Ketiga, menarik pelaburan untuk menaik taraf kilang sedia ada. Sehingga Jun 2024, terdapat kira-kira 448 kilang kelapa sawit yang mana kebanyakan daripada kilang ini telah lama dibina. Pelabur berpotensi boleh bekerjasama dengan pemilik kilang untuk menaik taraf kilang ini dan dilengkapkan dengan teknologi terkini.

"Sebagai contoh, penggunaan kecerdasan buatan (AI) boleh meningkatkan kecekapan operasi dengan mengurangkan kehilangan minyak dan kebergantungan terhadap buruh," katanya.

Mengulas lanjut mengenai hubungan dua hala Malaysia-China dalam industri itu, Johari berkata industri minyak sawit Malaysia telah lama bertapak di China dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bersiap sedia untuk menyambut ulang tahun ke-20 penubuhan Institut Penyelidikan Minyak Sawit dan Perkhidmatan Teknikal Lembaga Minyak Sawit Malaysia (PORTSIM) di Shanghai.

"PORTSIM menyasar untuk meningkatkan kehadiran pasaran di China serta menyediakan sokongan teknikal dan khidmat nasihat kepada perusahaan tempatan," katanya.

Berikutan ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam ekonomi global dan peningkatan risiko geopolitik, Johari percaya Malaysia boleh terus menjadi rakan dagang yang penting bagi minyak sawit.

"Industri kita yang telah lama bertapak kukuh dan dikawal selia dengan baik mampu menyediakan jaminan bekalan, infrastruktur yang sangat baik dalam keseluruhan rantaian bekalan serta jaminan kemampanan menerusi skim pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

"Berikutan komitmen kita untuk mengeluarkan minyak sawit secara mampan, kita memberi tumpuan untuk meningkatkan pengeluaran dengan memanfaatkan hasil yang lebih tinggi dan bukan sebaliknya membuka tanah baharu untuk menanam sawit," katanya.

Lagipun hasil yang lebih tinggi membawa kepada harga yang lebih kompetitif untuk pengguna, katanya, sambil menambah pengeluaran yang lebih tinggi juga akan membuka lebih banyak peluang untuk pasaran, seperti tenaga hijau.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED