Translate

18 December 2024

Langgar lampu merah: 95,298 saman dikeluarkan dalam tempoh 11 bulan tahun ini - JSPT



Langgar lampu merah: 95,298 saman dikeluarkan dalam tempoh 11 bulan tahun ini - JSPT

Bernama

17/12/2024


Mohd Yusri Hassan berkata pemandu kereta merekodkan jumlah tertinggi dengan 44,889 saman, diikuti penunggang motosikal (39,468), pemandu lori (3,937) dan lain-lain kenderaan (7,004). - Gambar fail/Bernama


KUALA LUMPUR: Sebanyak 95,298 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya di seluruh negara atas kesalahan melanggar lampu isyarat merah bagi tempoh Januari hingga November lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pemandu kereta merekodkan jumlah tertinggi dengan 44,889 saman, diikuti penunggang motosikal (39,468), pemandu lori (3,937) dan lain-lain kenderaan (7,004).

"Kesalahan melanggar lampu isyarat merah adalah satu pelanggaran undang-undang jalan raya yang serius dan berpotensi menyebabkan kemalangan maut.

"JSPT tidak berkompromi terhadap mereka yang melanggar peraturan. Pemantauan dan penguatkuasaan lebih ketat akan dijalankan di lokasi dikenal pasti dan kamera litar tertutup di persimpangan utama akan dipertingkatkan bagi memastikan pelanggaran undang-undang dapat dikesan dan pelaku ditangkap dengan segera," katanya.

Mohd Yusri berkata JSPT juga bekerjasama dengan agensi kerajaan lain termasuk pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kesalahan lampu isyarat merah diambil tindakan di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bersempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025, Mohd Yusri meminta masyarakat dan semua pengguna jalan raya untuk sentiasa mempamerkan sikap lebih bertanggungjawab, mematuhi peraturan dan arahan pihak berkuasa bagi menaikkan imej negara.

"JSPT menyeru semua pengguna jalan raya sentiasa berada dalam keadaan fokus semasa memandu dan tidak tergesa-gesa melintasi lampu isyarat merah.

"Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan dengan kerjasama semua, kemalangan yang berpunca daripada pelanggaran peraturan, lalu lintas terutama di persimpangan utama jalan raya dapat dikurangkan," katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED