Translate

14 November 2024

“Sudah sampai masanya perang di Gaza ditamatkan” - Setiausaha Negara AS



“Sudah sampai masanya perang di Gaza ditamatkan” - Setiausaha Negara AS

Agensi

14/11/2024


Antony Blinken berpendapat, masanya sudah tiba untuk peperangan yang sudah berlanjutan lebih setahun di Gaza ditamatkan. - Gambar fail Bernama


ATHENS: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berpendapat, masanya sudah tiba untuk peperangan yang sudah berlanjutan lebih setahun di Gaza ditamatkan.

"Kesan daripada 15 langkah yang kami desak untuk diambil tindakan, Israel telah melaksanakan atau dalam proses melaksanakan 12 daripada 15 langkah tersebut," kata Blinken, merujuk kepada surat yang dihantarnya bersama Setiausaha Pertahanan Lloyd J. Austin kepada rakan sejawatan di Israel sebulan lalu, menggesa Israel mengambil langkah-langkah untuk menangani situasi kemanusiaan yang teruk di Gaza.

Menurut Blinken, masih terdapat tiga isu utama yang perlu ditangani oleh Israel iaitu, membenarkan orang awam kembali ke kawasan di mana mereka dipindahkan akibat operasi Israel; memulihkan penghantaran trak komersial dan melanjutkan tempoh rehat di Gaza untuk membolehkan bantuan kemanusiaan sampai kepada penduduk yang memerlukan.

"Dan sekali lagi, langkah-langkah ini perlu dilaksanakan sepenuhnya dan dikekalkan," tambahnya.

"Walaupun dengan semua langkah ini, situasi masih sangat sukar dan dramatik sehingga untuk menyelesaikannya sepenuhnya, untuk memenuhi keperluan rakyat, cara terbaik untuk melakukannya ialah dengan mengakhiri perang," kata Blinken.




Beliau berkata Israel, "mengikut standard yang ditetapkan sendiri, telah mencapai matlamat yang ditetapkan untuk dirinya sendiri, (dan) matlamat strategik yang ditetapkan," sambil menehaskan: "Justeru, ini sepatutnya menjadi masa untuk mengakhiri perang."

Blinken berkata, tebusan Israel harus dibebaskan dengan selamat dan satu rancangan jelas perlu diwujudkan untuk Israel berundur dari Gaza tanpa membenarkan Hamas kembali mentadbir di wilayah itu.

"Tetapi selain mengakhiri perang, yang kami percaya sekarang adalah masa untuk bergerak ke arah itu, kami perlu melihat langkah-langkah kemanusiaan ini dilaksanakan sepenuhnya, dikekalkan dan seperti yang saya katakan, terutama berkaitan tempoh rehat yang lebih lama," katanya.

Israel terus melancarkan serangan dahsyat ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023.

Serangan itu telah mengorbankan lebih daripada 43,700 mangsa dan menjadikan wilayah tersebut hampir tidak dapat didiami.

Israel berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berikutan perang yang dilancarkan rejim Zionis di Gaza. - Agensi

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED