PM Anwar tiba di Mesir untuk lawatan rasmi
Astro Awani
10/11/2024
Ketibaan Perdana Menteri Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada Sabtu disambut Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
KAHERAH: Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini, hari ini, untuk lawatan rasmi bagi merapatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Mesir.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Dewan Ketibaan Presiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada 6.30 petang waktu tempatan (12.30 pagi Malaysia).
Ketibaan Anwar di lapangan terbang disambut Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan Mesir.
Turut berada di sesi menyambut Anwar ialah Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian.
Lawatan ini bakal menyaksikan Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dua hala dengan untuk berbincang dan mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Mesir, di samping mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.
Beliau juga dijadualkan menghadiri sesi dua hala bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi bagi membincangkan isu-isu berkaitan kepentingan bersama antara Malaysia dan Mesir.
Sebelum ini, Mohd Tarid berkata, lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri Anwar ke Mesir mulai hari ini bakal melakar sejarah penting hubungan persaudaraan kedua-dua negara.
Beliau berkata, ini kerana lawatan atas jemputan Presiden Sisi akan membuka ruang untuk memperkukuh asas yang menjadi sinergi ke atas usaha-usaha meneliti pelbagai isu serantau dan global yang berkepentingan bersama.
Turut menyertai delegasi Perdana Menteri bagi lawatan rasmi ini ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Mesir kini merupakan rakan dagangan kelima terbesar Malaysia di benua Afrika, dengan nilai dagangan mencapai RM3.35 bilion pada tahun 2023.