Translate

10 November 2024

Paderi ditikam: PM Wong seru rakyat Singapura bertenang, bersatu padu



Paderi ditikam: PM Wong seru rakyat Singapura bertenang, bersatu padu

Bernama

10/11/2024


Lawrence Wong menyeru orang ramai supaya kekal tenang dan bersatu padu susulan serangan pisau ke atas seorang paderi di Gereja St Joseph di Bukit Timah, pada Sabtu. - Gambar fail Reuters


SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menyeru orang ramai supaya kekal tenang dan bersatu padu susulan serangan pisau ke atas seorang paderi di Gereja St Joseph di Bukit Timah, pada Sabtu.

Sambil menyatakan bahawa keganasan tidak mempunyai tempat di negara itu, beliau menggesa semua orang untuk menyokong satu sama lain dalam semangat keharmonian dan daya tahan.

"Sangat terkejut dan sedih mendengar bahawa seorang paderi, Father Christopher Lee telah ditikam di Gereja St Joseph semasa upacara misa. Kami mendoakan agar beliau cepat sembuh.

"Paling penting, kita mesti menegakkan keselamatan dan kesucian rumah ibadat kita - tempat orang ramai mencari kedamaian, ketenangan dan komuniti," katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Wong yang juga Menteri Kewangan berkata, beruntung beberapa anggota jemaah membantu melucutkan senjata penyerang sebelum suspek dapat menyebabkan lebih banyak kecederaan.

"Ramai jemaah terkejut dengan apa yang berlaku, dan saya berharap mereka pulih daripada peristiwa traumatik ini," tambahnya.

Dalam kejadian itu, Lee seorang paderi di Gereja St Joseph, diserang oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau semasa meraikan misa pada 5.30 petang.

Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dengan rekod jenayah lampau mencederakan orang dan kesalahan berkaitan dadah kemudiannya ditahan oleh pihak polis.

Berdasarkan siasatan awal, polis percaya suspek bertindak bersendirian dan serangan itu bukan tindakan keganasan.

Lee sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Nasional dan dilaporkan dalam keadaan stabil. - BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED