Translate

04 November 2024

Pegawai polis langgar pelajar: Pasukan pembelaan baharu, bicara ditangguh



Pegawai polis langgar pelajar: Pasukan pembelaan baharu, bicara ditangguh

Astro Awani

04/11/2024


Tertuduh dalam kes pegawai kanan polis langgar pelajar, Mohd Nazri Abdul Razak, hadir di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini. - Foto Astro AWANI


IPOH: Perbicaraan kes pegawai kanan polis didakwa membunuh pelajar Tingkatan Lima tahun lalu di Mahkamah Tinggi Ipoh, yang bermula hari ini, ditangguhkan ke Selasa.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pasukan pembelaan yang baharu.

Peguam M Athimulan dalam permohonannya berkata, mereka secara rasmi mewakili tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, mulai hari ini.

Menurutnya, mereka memerlukan masa untuk meneliti kenyataan daripada 30 saksi dan sejumlah dokumen yang diterima daripada pasukan pembelaan terdahulu serta beberapa dokumen tambahan.

Selain Athimulan, pasukan pembelaan turut diwakili peguam Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afrainizam Abdul Aziz pula berkata, walaupun baru dimaklumkan mengenai pertukaran pasukan pembelaan itu pagi ini, pihaknya tiada halangan terhadap penangguhan berkenaan.

Selain Afrainizam, pihak pendakwaan turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui.

Turut hadir, waris tertuduh dan mangsa, di samping peguam pemerhati keluarga, Datuk Wan Azmir Wan Majid.

Athimulan ketika ditemui di luar mahkamah berkata, Mohd Nazri sendiri yang meminta pertukaran pasukan pembelaan dan mereka secara rasmi mewakili tertuduh mulai pagi ini.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri, 45 tahun, pegawai berpangkat Deputi Superintendan Polis (DSP) didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie.

Dalam kejadian itu, Muhammad Zaharif, 17 tahun, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, di sini, maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.

Mohd Nazri didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan Taman Jati 1, berhampiran SMK Jati, antara jam 12.05 dan 12.40 tengah hari, 15 Dis lalu.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun.

Jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan.




Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED