Translate

07 November 2024

KPDN bakal perkenal garis panduan CMO tahun hadapan - Armizan



KPDN bakal perkenal garis panduan CMO tahun hadapan - Armizan

Astro Awani

07/11/2024


Armizan berkata, pihaknya dan Jabatan Insolvensi Malaysia telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengenal pasti ahli yang belum menuntut. - Gambar Bernama


KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal melaksanakan satu garis panduan Pengoperasian Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) tahun hadapan sebagai usaha untuk menambah baik pengurusan kutipan dan pengagihan royalti dalam kalangan penggiat seni.

Menterinya Datuk Seri Armizan Mohd Ali berkata, ini kerana KPDN dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menerima pelbagai aduan antaranya berkaitan agihan royalti yang disifatkan terlalu rendah.

"Kita sedang memuktamadkannya. Insya-Allah, pada Disember tahun ini selesai dan KPDN akan menghebahkannya kepada semua, dan ia dijangka berkuat kuasa pada April 2025.

"Pelaksanaan ini diwujudkan supaya kita dapat memantau dan mengambil tindakan yang lebih tersusun sekiranya ada pelanggaran kepada garis panduan terhadap syarat penubuhan CMO di Bawah Akta Hak Cipta 1987," katanya.

Ujarnya lagi, MyIPO akan diberi kuasa untuk memantau pengurusan kutipan dan pengagihan royalti oleh CMO.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan program Sentuhan Kasih MADANI di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Armizan berkata program itu melibatkan sebahagian daripada penggiat seni yang terlibat dengan tunggakan bayaran royalti berikutan pengisytiharan Organisasi Pengurusan Kolektif (PRISM) yang dibatalkan pada April 2019.

Susulan pembatalan itu, berbangkit beberapa isu tunggakan bayaran royalti bagi penggunaan lagu pada tahun 2018 yang kemudiannya diselia oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl).

"Sebanyak 495 artis di bawah pendaftaran PRISM ini dan sebahagiannya telah diselesaikan awal namun ada lagi seramai 164 artis yang belum menerima royalti.

"Setakat ini, kita dapat jumpa 25 artis dan mereka telah menandatangani dokumen untuk proses tuntutan royalti dan dalam tempoh dua minggu bayaran (royalti) akan masuk ke akaun masing-masing," ujar beliau.

Sejumlah RM2,040,846.84 hasil royalti ahli PRISM tersedia untuk diagihkan kepada 495 ahli yang layak berdasarkan penggunaan lagu pada tahun 2018. Daripada jumlah ini, sebanyak RM339,058.57 baki yang masih belum dituntut oleh 164 ahli penggiat seni.

Namun Armizan berkata, KPDN dan Jabatan Insolvensi Malaysia telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengenal pasti ahli yang belum menuntut.

"KPDN komited dalam menangani isu-isu yang membelenggu penggiat seni muzik tempatan dan akan terus memperkemas undang-undang hak cipta mengikut perkembangan semasa untuk memperkukuh ekosistem perlindungan harta intelek di Malaysia," jelasnya.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED