Translate

12 November 2024

Kerajaan lulus RM141.72 bilion pelaburan digital sehingga Oktober 2024 - Gobind



Kerajaan lulus RM141.72 bilion pelaburan digital sehingga Oktober 2024 - Gobind

Bernama

12/11/2024


Menteri Digital Gobind Singh Deo semasa Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM141.72 billion pelaburan digital diluluskan kerajaan dalam tempoh Januari hingga Oktober 2024, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.


Beliau berkata dalam tempoh berkenaan, sebanyak 41,078 peluang pekerjaan juga berjaya diwujudkan dalam sektor ekonomi digital.

Selain itu, katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan kementerian untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam ekonomi digital termasuk melalui kerjasama dengan syarikat tempatan dan antarabangsa yang seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pasaran Malaysia.

"Kementerian menetapkan bahawa pelaksanaan program dan inisiatif pendigitalan negara adalah mengutamakan pengukuhan infrastruktur digital, ketahanan siber dan juga pembangunan bakat digital.

"Tumpuan kita adalah untuk melihat bagaimana kita boleh menarik pelaburan, menarik lebih perhatian kepada Malaysia sebagai satu hab digital dan juga memberikan tumpuan supaya peluang pekerjaan baharu akan wujud di Malaysia bertujuan mendukung ekosistem baharu ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Gobind berkata Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IR) ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR).

"Buat masa ini, negara berada di Fasa 2 (2023 - 2025) apabila negara memberi tumpuan kepada usaha memacu transformasi dan inklusiviti digital dengan menitikberatkan inklusiviti dalam kalangan rakyat dan semua peringkat perniagaan.

"Fasa seterusnya 2026 - 2030 adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai negara pengeluar pasaran serantau bagi produk digital dan penyedia penyelesaian digital," katanya.

Sementara itu, menurut Gobind kerajaan negeri Johor sedang meneliti 36 permohonan bagi pembangunan infrastruktur pusat data di negeri tesebut.

Gobind berkata sehingga Oktober 2024, sebanyak 10 pusat data mula beroperasi manakala tujuh masih dalam proses pembangunan di negeri berkenaan.

"Kerajaan sentiasa mengimbangi keperluan pembangunan pusat data dengan potensi kawasan untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih luas.

"Perancangan kawasan khusus untuk pusat data seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bertujuan untuk memaksimumkan limpahan ekonomi dengan menarik pelaburan teknologi tinggi dan mampu menjana pendapatan tinggi untuk rakyat," katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED