Imigresen, MPAJ gempur apartmen Pandan Mewah, 119 pendatang tanpa izin ditahan
Bernama
27/11/2024
Khairrul Aminus (tengah) bercakap pada sidang media Operasi Bersepadu Selangor di Apartment Pandan Mewah, pada Selasa. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menahan 119 pendatang dalam operasi bersepadu bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara di Apartmen Pandan Mewah, di sini, pada Selasa.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi yang bermula 6 petang sehingga 11 malam dengan kekuatan 438 termasuk pegawai dan anggota lain-lain pangkat itu, dijalankan hasil aduan orang ramai dan risikan yang dilakukan selama hampir sebulan.
Ad
Beliau berkata, pihaknya telah memeriksa 400 pendatang dan kesemua yang ditahan terdiri daripada 89 warga Myanmar, 14 warga Bangladesh, lapan warga Nepal dan masing-masing empat warga Indonesia dan India berumur 18 hingga 50.
Beliau berkata, kebanyakan yang ditahan itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, dan semua mereka dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk pemeriksaan lanjut.
"Operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
"Imigresen mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi pendatang atau perlu berhadapan dengan tindakan undang-undang," katanya pada sidang media selepas operasi itu, di sini, pada Selasa.
Pegawai Penguatkuasaan MPAJ, Mohammad Farhan Hakim Mohd Ropi berkata, dalam operasi itu sebanyak lima premis diperiksa dan dua premis telah disita kerana menggajikan warga asing yang tidak mempunyai permit sah.
Sementara itu, seorang penduduk warga tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Syafiq menetap di kawasan itu lebih 20 tahun berkata kebanyakan warga asing di situ mula tinggal di apartmen tersebut sejak lima tahun lepas dan sering membuat bising serta kerap kali mencetuskan pergaduhan.
"Setiap malam kedai makan bawah rumah saya dibuka meriah dikunjungi warga asing dengan kenderaan masing-masing, sampai payah kami nak lalu jalan ini kerana menjadi sempit," katanya.
- BERNAMA