UMNO komited terus pertahan Kerajaan Perpaduan - Ahmad Zahid
Bernama
04/05/2024
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO bersama UMNO Bahagian Padang Terap di Kolej Mara Kuantan hari ini. - Foto Bernama
UMNO komited terus pertahan Kerajaan Perpaduan - Ahmad Zahid
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO bersama UMNO Bahagian Padang Terap di Kolej Mara Kuantan hari ini. - Foto Bernama
KUALA NERANG: UMNO komited untuk terus mempertahan Kerajaan Perpaduan walaupun ada usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu yakin hanya dengan berada dalam kerajaan semasa, pelbagai manfaat dapat dinikmati oleh semua termasuk di peringkat akar umbi.
"Ada tak usaha untuk mengurangkan majoriti dan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri? Jawapannya ya. Kita akan pertahankan Kerajaan Perpaduan kerana yakin bahawa lebih banyak manfaat diperoleh jika berada dalam Kerajaan Perpaduan.
"Antaranya agenda Islam dan Melayu menjadi teras perjuangan tanpa mengetepikan kaum dan agama lain," katanya dalam ucapan sempena Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO Bersama UMNO Bahagian Padang Terap di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga berterima kasih kepada rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang sentiasa bersama UMNO terutama pada beberapa pilihan raya kecil (PRK) sehingga parti itu memperoleh kemenangan sebelum ini.
"Kita lihat di PRK Tioman dan PRK Pelangai, kita menang kerana rakan-rakan (Pakatan Harapan) bantu. Kini di Kuala Kubu Baharu, tidak salah UMNO bantu sebab mereka pernah bantu kita. Jentera UMNO wajib bekerja keras menangkan calon Kerajaan Perpaduan," katanya.
Ahmad Zahid juga berkata walaupun UMNO hanya memiliki 26 kerusi di Parlimen, ia sebenarnya bukanlah menunjukkan bahawa pihak pembangkang kuat.
"Yakinlah mereka tidak kuat tapi kita yang lemah. Kenapa kita lemah? Sebab ada dalam kalangan kita yang terpengaruh dengan propaganda mereka," katanya.
Mengulas mengenai Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di Jitra malam ini, yang akan turut dihadiri Perdana Menteri dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Ahmad Zahid berkata beliau telah mengingatkan Menteri Besar Kedah itu supaya menjaga tutur kata dalam ucapannya nanti.
Beliau berkata ini sangat penting dalam memastikan keharmonian hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
"Saya bagitau Nusi hang jangan melalut macam-macam dalam ucapan, saya akan tengok malam ini," katanya.
-- BERNAMA