Translate

25 May 2024

Imigresen tumpas aktiviti pelacuran, tahan 51 warga asing

 Imigresen tumpas aktiviti pelacuran, tahan 51 warga asing

Bernama

25/05/2024
Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen dalam operasi khas di Jalan Pasar Baru, Kuala Lumpur. - Gambar/ Jabatan Imigresen

Imigresen tumpas aktiviti pelacuran, tahan 51 warga asing

Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen dalam operasi khas di Jalan Pasar Baru, Kuala Lumpur. - Gambar/ Jabatan Imigresen

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 51 warga asing di sebuah pusat pelacuran dalam operasi khas di Jalan Pasar Baru, Kuala Lumpur pada Khamis lepas, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ruslin berkata kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 37 wanita warga Vietnam, tiga wanita Indonesia, seorang wanita Myanmar, lima orang lelaki Bangladesh, dua lelaki Vietnam, dan masing-masing seorang lelaki India, Pakistan serta Indonesia.

Beliau berkata semua warganegara asing yang ditahan berusia antara 24 hingga 54 tahun.







Tambah beliau, pihaknya turut merampas 19 pasport Vietnam, dua pasport Bangladesh, empat botol minyak urut dan kondom.

"Kesemua warganegara asing itu ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 dan kini ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Seramai lima lelaki warganegara Malaysia diberikan notis untuk hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan," katanya.

Ruslin berkata modus operandi kegiatan adalah menawarkan perkhidmatan urutan badan dan aktiviti pelacuran kepada warganegara asing dan tempatan.

Menurutnya, perkhidmatan urutan badan dijalankan di tingkat bawah premis manakala aktiviti pelacuran dijalankan di tingkat satu.

"Pelanggan akan memilih perempuan warganegara asing untuk dilanggan dan bayaran akan dilakukan di dalam bilik di tingkat yang lain," katanya menambah premis itu telah beroperasi lebih kurang 30 tahun.

Beliau berkata bayaran yang dikenakan ialah antara RM80 hingga RM150 untuk satu jam.

Jabatan Imigresen akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED