Darjah kebesaran, pingat 'asing' tanpa perkenan Agong tidak sah diguna pakai - MDDM
Bernama
12/05/2024
Menurut Awalan, hanya Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Yang Dipertua Negeri yang boleh memberi anugerah yang sah kepada seseorang individu.
Darjah kebesaran, pingat 'asing' tanpa perkenan Agong tidak sah diguna pakai - MDDM
Menurut Awalan, hanya Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Yang Dipertua Negeri yang boleh memberi anugerah yang sah kepada seseorang individu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Darjah kebesaran, pingat atau bintang kehormatan yang diterima seseorang warganegara dari negara luar tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong, adalah tidak sah dan tidak diiktiraf untuk digunakan dalam negara.
Presiden Majlis Datuk Dato' Malaysia Datuk Awalan Abdul Aziz berkata ia sepertimana diperuntuk di bawah Akta Kesalahan yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 (Akta 787).
"Hanya Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Yang Dipertua Negeri yang boleh memberi anugerah yang sah kepada seseorang individu," katanya kepada pemberita selepas menyertai kejohanan amal golf anjuran MDDM di Bukit Kiara di sini hari ini, bagi mengulas isu penyalahgunaan gelaran yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.
Awalan berharap kesemua negeri dapat menerima pakai Akta 787 bagi membendung penyalahgunaan gelaran dan mereka yang mengguna pakai anugerah asing tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata ketika ini, penguatkuasaan akta itu yang diwartakan sejak 2018, masih belum dibuat secara menyeluruh, memandangkan masih ada negeri yang belum menerima pakai atau mewujudkan enakmen serupa di negeri masing-masing.
"Mereka yang melakukan kesalahan di bawah akta itu, boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000 dan penjara maksimum 20 tahun, mengikut tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan," katanya.
-- BERNAMA