Translate

28 February 2024

Imigresen tahan 14,361 pendatang tanpa izin setakat 23 Feb



Imigresen tahan 14,361 pendatang tanpa izin setakat 23 Feb

Bernama

Februari 28, 2024
Ruslin berkata 139 majikan ditahan akibat pelbagai kesalahan merangkumi kesalahan menggaji dan melindungi pendatang tanpa izin bermula 1 Jan hingga 23 Feb lepas. - Foto Bernama

Imigresen tahan 14,361 pendatang tanpa izin setakat 23 Feb

Ruslin berkata 139 majikan ditahan akibat pelbagai kesalahan merangkumi kesalahan menggaji dan melindungi pendatang tanpa izin bermula 1 Jan hingga 23 Feb lepas. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) telah menjalankan 2,528 operasi bermula 1 Jan hingga 23 Feb lepas dengan penahanan 14,361 pendatang tanpa izin, kata Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh.

Beliau berkata bagi tempoh sama, 139 majikan ditahan akibat pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 merangkumi kesalahan menggaji dan melindungi pendatang tanpa izin.

"Walaupun kita (JIM) akan melaksanakan Program Repatriasi Migran (PRM) bermula Jumaat (1 Mac), JIM tetap melakukan operasi membanteras warga asing yang tiada dokumen sah.







"Perlu diingatkan sasaran JIM bukan sahaja pendatang tanpa izin, malah juga majikan. Ada sesetengah majikan yang mahu melangkaui proses pengambilan pekerja warga asing kerana tidak mahu membayar levi. Itu salah sebab kita ada undang-undang yang perlu dipatuhi," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual khas.

PRM yang akan dilaksanakan dari 1 Mac hingga 31 Dis depan merupakan program yang membolehkan pendatang tanpa izin pulang ke negara asal secara sukarela dan memenuhi syarat yang ditetapkan JIM.

Ia termasuk mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tiket penerbangan pulang.

Pada tahun ini, beliau berkata JIM akan memberi tumpuan penuh kepada 220 lokasi 'hotspot' seluruh Malaysia yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing dan seterusnya menjalankan operasi bersepadu dengan agensi penguatkuasaan lain.

Antara langkah jabatan itu dalam membendung kebanjiran warga asing termasuk membuat naziran terhadap premis yang menggajikan pekerja asing, kawasan pasar borong dan institusi pendidikan yang mengambil pelajar antarabangsa.

Selain itu, JIM juga memperketatkan kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk ke negara manakala pelawat asing yang masuk ke Malaysia turut diwajibkan mempunyai tiket pulang ke negara asal.

Mengenai data pekerja asing aktif di Malaysia hingga 15 Feb, Ruslin berkata terdapat seramai 2,123,049 pekerja asing di Malaysia dengan angka tertinggi dari Bangladesh seramai 786,795 orang, diikuti Indonesia (496,083), Nepal (367,498), Myanmar (163,324) dan India (119,706).

Selain negara berkenaan, Malaysia turut membenarkan kemasukan pekerja asing dari negara lain antaranya Kemboja, Vietnam, Pakistan dan Turkmenistan.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED