Translate

28 February 2024

Ahli Parlimen pembangkang keluar dewan, dakwa Anwar tak ikut Peraturan Mesyuarat

 


Ahli Parlimen pembangkang keluar dewan, dakwa Anwar tak ikut Peraturan Mesyuarat

ASTRO AWANI

Februari 27, 2024 16:23 MYT


Hamzah berkata tindakan Anwar memberikan penerangan tersebut di tengah-tengah sesi Perbahasan Titah Diraja adalah menyalahgunakan 'sokongan majoriti' yang dimiliki oleh kerajaan - Foto/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Hampir semua Ahli Parlimen blok pembangkang hari ini bertindak keluar Dewan Rakyat selepas tidak berpuas hati kerana mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.

Protes tersebut dibuat susulan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membenarkan Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun untuk menyampai Penerangan Menteri berkaitan Ucapan Tahniah dah Ikrar Taat Setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Ucapan Terima Kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tindakan Anwar memberikan penerangan tersebut di tengah-tengah sesi Perbahasan Titah Diraja adalah menyalahgunakan 'sokongan majoriti' yang dimiliki oleh kerajaan.



"Apa yang saya telah saya bangkitkan tadi (di Dewan Rakyat) untuk menjelaskan kerajaan jangan menggunakan kuasa majoriti untuk buat sesuatu sewenang-wenangnya.

"Kalau kita dengar Titah Diraja, kita mesti ikut perundangan dan proses yang ada. Sepatutnya YB Perdana Menteri tunggu, sampai masa, cakaplah. Dia nak (cakap) dua atau tiga jam.. satu hari suntuk, kita boleh dengar.

"Apabila melakukan sesuatu di luar Peraturan Mesyuarat... ini adalah sesuatu penyalahgunaan kuasa yang ada. Sebab itu kita tidak setuju. Rakyat di luar sana beranggapan pembangkang hanya biarkan saja apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini.

"Kami nak buktikan segala apa yang mereka lakukan itu tidak ikut peraturan dan kita akan bangkang," katanya dalam sidang media di Parlimen pada Selasa.

Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh selepas beberapa Ahli Parlimen blok pembangkang bangkit membantah cadangan Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) dan 14(1)(j) yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sementara dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan slot yang diberikan kepada Anwar itu sebagai satu kejadian 'luar biasa'.

"Kami berada dalam dewan di mana Speaker buat satu keputusan untuk membenarkan Perdana Menteri keluarkan satu kenyataan Penerangan Menteri. Ini agak luar biasa kerana Usul Menjunjung Kasih kepada Yang di-Pertuan Agong telah dibentangkan tadi dan disokong.

"Oleh sebab itu, apa yang berlaku hari ini agak luar biasa. Macam mana ada satu slot termasuk di tengah-tengah (perbahasan).... mereka menggunakan majoriti... boleh buat apa yang suka (hati) sehingga tak ikut peraturan," ujar Muhyiddin.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED