Translate

31 January 2024

Filem 'Oppa' bantu PDRM banteras jenayah scam



Filem 'Oppa' bantu PDRM banteras jenayah scam

Bernama

Januari 31, 2024
Faizal berharap filem Oppa dapat mendidik masyarakat untuk lebih cakna mengenai jenayah scam yang berlaku secara meluas dalam masyarakat. - Gambar Bernama

Filem 'Oppa' bantu PDRM banteras jenayah scam

Faizal berharap filem Oppa dapat mendidik masyarakat untuk lebih cakna mengenai jenayah scam yang berlaku secara meluas dalam masyarakat. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalinkan kerjasama dengan Dream Film Sdn Bhd bagi menerbitkan filem kesedaran mengenai jenayah scam bertajuk 'Oppa.'

Penolong Pengarah (Risikan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Supt Mohd Faizal Zainal berkata, filem itu diadaptasikan daripada kisah benar mengenai penipuan cinta dalam talian atau love scam.

"Kita di PDRM sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk pencegahan kepada masyarakat terutamanya dalam mekanisme yang berbeza. Selama ini kita beri pencegahan dalam bentuk konvensional seperti melalui sesi ceramah atau pemaparan video klip.







"Tetapi, kali ini kita bertukar ke arah hiburan kerana kita percaya masyarakat lebih dekat dan terhibur serta mudah tertarik dengan apa yang kita cuba sampaikan (menerusi medium hiburan) seterusnya bersama-sama PDRM membantu dan mencegah serta membanteras 'scammer' keseluruhannya," katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran filem Oppa baru-baru ini.

'Oppa' mengisahkan seorang guru sekolah rendah yang mendambakan cinta dan bertemu jejaka idamannya di dunia maya tanpa menyedari dirinya diperdaya oleh sindiket love scam.

Lebih menarik, filem berdurasi 90 minit itu yang menelan kos hampir RM2 juta turut dilakonkan oleh lebih 50 pegawai dan anggota polis sebenar termasuk Mohd Faizal.

Menurutnya, cabaran yang dihadapi mereka adalah perlu menghasilkan skrip yang bersesuaian berdasarkan garis panduan yang diberikan, agar lakonan yang ditonjolkan tidak terlalu kaku atau terlalu berlebihan sehingga melanggar protokol jabatan mereka.

"Sudah tentu ia (berlakon) sesuatu yang sukar kerana bidang ini bukan 'forte' kami...dalam satu babak jika pelakon profesional mungkin hanya perlu dua atau tiga 'take', tetapi kami sampai 30 'take' perlu dibuat.

"Kita minta maaf kepada penerbit filem kerana sabar melatih kami supaya dapat menonjolkan yang terbaik dalam filem ini.. kita cuba buat sehabis baik... itu yang membuatkan kami bersemangat tinggi," katanya.

Pada masa sama, Faizal turut berharap filem itu dapat mendidik masyarakat untuk lebih cakna mengenai jenayah scam yang berlaku secara meluas dalam masyarakat.

Sementara itu, pengarah filem Choong Lin Loong, 44, berkata peningkatan jumlah mangsa kes jenayah scam memberinya inspirasi untuk menghasilkan filem berkenaan.

"Hasil bacaan saya, semua jenayah scam ini modus operandinya hampir sama tetapi kenapa masih ada lagi yang menjadi mangsanya? Saya buat filem ini bukan hanya mahu mengejar keuntungan tetapi bertujuan memberi kesedaran," katanya.

Pada masa sama, Choong optimistik filem itu akan mendapat sambutan walaupun hanya mengetengahkan bakat baharu termasuk pelakon dari Korea Selatan, TaeOh Jang.

"Kita menjalankan sesi uji bakat terbuka dalam mencari pelakon bersesuaian... asalnya dalam sesi uji bakat itu kita juga ingin mencari seseorang yang wajahnya persis jejaka tampan dari Korea Selatan, namun tidak menemuinya.

"Mujurlah, kita ada kenalan dengan agensi pengurusan artis dari Korea Selatan dan meminta bantuan daripadanya dengan syarat bakat baharu itu perlu fasih berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris," katanya.

Selain TaeOh Jang, buah tangan pertama Dream Film Sdn Bhd itu turut menampilkan penyanyi dan pempengaruh Jacqueline Goh, Lee Qi, Amanda Tan dan Sadiq M Jamil dan dijangka menjengah pawagam tempatan Mei ini. - BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED