Pusat panggilan sindiket pelacuran antarabangsa kaut RM1 juta sebulan diserbu
Bernama
Oktober 22, 2023
Siasatan polis mendapati, pusat panggilan itu beroperasi 24 jam sehari dengan pekerjanya bekerja dalam dua syif. - Gambar/ Bernama
Pusat panggilan sindiket pelacuran antarabangsa kaut RM1 juta sebulan diserbu
Siasatan polis mendapati, pusat panggilan itu beroperasi 24 jam sehari dengan pekerjanya bekerja dalam dua syif. - Gambar/ Bernama
BALIK PULAU: Polis menyerbu sebuah 'pusat panggilan' kegiatan sindiket pelacuran antarabangsa yang beroperasi dalam talian dan mampu mengaut keuntungan sehingga RM1 juta sebulan, di sebuah pusat komersial di Bayan Baru, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata dalam serbuan pada 5.30 petang itu, polis menahan lima lelaki dan enam wanita, yang kesemuanya warga tempatan berusia 21 hingga 65 tahun, termasuk seorang lelaki berumur 33 tahun yang merupakan dalang utama bersama ibunya (65).
"Polis menyerbu premis perniagaan yang berada di tingkat tiga bangunan pusat komersial itu, selepas menerima aduan awam dan risikan yang dijalankan pihaknya, siasatan kemudiannya mendapati pusat panggilan terbabit beroperasi sejak Disember 2021.
"Berdasarkan siasatan awal, kita mendapati mereka ditahan ialah operator di pusat panggilan itu yang menjalankan kegiatan pelacuran secara dalam talian membabitkan urus niaga di Australia, termasuk pelacur dan pelanggan di sana (Australia)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kamarul Rizal berkata pusat panggilan itu, berperanan sebagai orang tengah termasuk mempromosi dan mengiklan kegiatan pelacuran, yang menyasarkan pelanggan di Australia menerusi sebuah laman web, sebelum pautan tersebut berhubung dengan operator di pusat panggilan itu bagi urus niaga berkenaan.
Kamarul Rizal berkata pekerja di pusat panggilan itu akan menguruskan urus niaga pelacuran, sebelum pelanggan bertemu dengan pelacur juga warga Australia, yang mengenakan bayaran antara AUD200 hingga AUD3,000 mengikut 'perkhidmatan' yang ditawarkan.
Beliau berkata seterusnya, pelacur itu akan membayar komisyen bagi urus niaga tersebut kepada sindiket terbabit dan siasatan mendapati pusat panggilan menerima lebih RM30,000 sehari atau RM1 juta sebulan bagi kegiatan itu.
"Menerusi laman web itu, sindiket tersebut yang dipercayai turut mempunyai rangkaian di Australia, menawarkan sehingga 120 wanita sebagai pelacur dan urus niaga yang dijalankan oleh pusat panggilan tersebut, menggunakan semua sim kad syarikat telekomunikasi Australia," katanya.
Kamarul Rizal berkata siasatan polis mendapati, pusat panggilan itu beroperasi 24 jam sehari dengan pekerjanya bekerja dalam dua syif, bagi menjalankan kegiatan tersebut dan mereka menerima bayaran gaji antara RM3,000 hingga RM8,000 sebulan.
Beliau berkata dalang utama iaitu lelaki berusia 33 tahun itu, didapati pernah bekerja di Australia dan sering ke sana dengan kali terakhir pada Julai lepas, malah ketika dia berada di sana dipercayai pernah terlibat dengan kumpulan pelacuran di negara berkenaan.
Kamarul Rizal berkata sehingga kini, laman web berkenaan masih aktif dan polis percaya sindiket di Australia masih lagi aktif menjalankan kegiatan tersebut.
"Lelaki itu juga didapati mendaftarkan perniagaannya secara sah dengan menyatakan syarikatnya beroperasi sebagai syarikat teknologi maklumat, di pusat komersial tersebut.
"Premis pusat panggilan itu turut dilengkapi dengan kamera litar tertututp (CCTV) bagi mengawasi kehadiran pihak berkuasa, malah pintu masuk turut dipasang kad akses bagi pekerja bagi mengelak orang luar masuk," katanya.
Kamarul Rizal berkata pihaknya menyalurkan semua maklumat berhubung kegiatan itu kepada Bukit Aman, bagi membolehkan kerjasama dengan pihak polis di Australia untuk menumpaskan jenayah tersebut.
"Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan antaranya 161 telefon bimbit, 11 unit monitor, empat buah modem dan lapan buah CPU.
Kesemua 11 individu yang ditahan itu, direman enam hari sehingga 26 Okt, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372 (1)(e) dan Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan," katanya.
-- BERNAMA