Translate

19 April 2023

Hooray X Fest Raya Yang DiBatalkan Saat Terakhir: Penganjur beri kata dua kepada vendor

 Hooray X Fest Raya: Penganjur beri kata dua kepada vendor

ASTRO AWANI

April 19, 2023



Hooray X Fest Raya: Penganjur beri kata dua kepada vendor
Mohammad Aliff (dua, kiri) mengadakan pertemuan bersama peniaga dan vendor Hooray X Fest Raya yang terjejas di WTCKL malam tadi. - Foto ihsan wakil vendor


KUALA LUMPUR: Penganjur Hooray X Fest Raya difahamkan memberi kata dua kepada vendor yang terlibat dalam festival membeli-belah sempena Syawal itu.

Wakil vendor menerusi satu kenyataan memaklumkan, Ketua Pengarah Eksekutif Tenview (M) Sdn Bhd, Datuk Mohammad Aliff Hakim memberi dua pilihan selepas membatalkan program tersebut.

Pilihan pertama adalah untuk peniaga mendapatkan semula bayaran atau pilihan kedua, menunggu tarikh acara berikutnya yang akan diumumkan kelak.



"Pihak penganjur akan membuat pertemuan bersama-sama dengan semua peniaga untuk urusan bayaran balik yang akan berlangsung jam 2 petang ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)," menurut kenyataan itu.

Mohammad Aliff berkata, pembatalan dibuat kerana penaja utama telah menarik diri, menyebabkan bayaran lokasi acara tidak dapat dilunaskan.

Namun, beliau tidak mendedahkan nama penaja tersebut.


Beliau ditemui semasa mengadakan pertemuan bersama-sama vendor dan peniaga yang terjejas di WTCKL malam tadi.

Acara Hooray x Raya Fest sepatutnya diadakan pada 19-21 April 2023, berlangsung selama 72 jam tanpa henti, di WTCKL.

Antara rakan artis dan selebriti yang terlibat termasuk Lann A To Z, Wan Scoin, Jaafar Onn, Ayie Floor 88, Amer Forteen, Elyana, Aidil Aziz, Risteena, Izzue Islam, Rina Eva, Anne Abdullah, Farah Wahida, Cat Farish, Ayu Damit, Soffi Jikan dan Rahmat Mega.

Acara ini mendapat kerjasama dan sokongan daripada Boy Iman yang juga merupakan Presiden Kelab Usahawan Selebriti Malaysia.




Hooray X Fest Raya: Batal di saat akhir, vendor 'naik angin' terhadap penganjur

ASTRO AWANI

April 19, 2023 07:45 MYT


Hooray X Fest Raya: Batal di saat akhir, vendor 'naik angin' terhadap penganjur
Beberapa vendor yang telah membuat tempahan reruai pada program Hooray X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur mendakwa kerugian puluhan ribu ringgit apabila ia dibatalkan pada saat akhir.


KUALA LUMPUR: Festival membeli-belah sempena sambutan Syawal, Hooray X Fest Raya yang dijadual bermula hari ini sehingga 21 April depan terpaksa dibatalkan di saat akhir.

Perkara itu dimaklumkan oleh beberapa vendor yang telah membuat tempahan reruai pada program yang sepatutnya berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Mereka memaklumkan, pihak penganjur didakwa membatalkan pesta 72 jam tanpa henti itu sekitar jam 3 petang semalam.



"Kami sepatutnya masuk ke WTCKL hari ini (Selasa) untuk melakukan persiapan jualan yang akan bermula pada Rabu.

"Tetapi petang tadi (Selasa), kami dimaklumkan yang pihak WTCKL tidak menerima sebarang bayaran daripada pihak penganjur.

"Jadi, tiada kontraktor atau vendor yang dibenarkan melakukan persiapan," kata salah seorang vendor yang bersiaran langsung di aplikasi TikTok menggunakan akaun @umarnipoh pada Selasa malam.

Beberapa vendor lain turut bersiaran langsung menerusi aplikasi TikTok dan berkongsi rasa kecewa serta tidak puas hati mereka terhadap pihak penganjur.

Antara ratusan vendor yang terlibat adalah dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana (PKS) yang terdiri daripada peniaga pakaian, makanan, kuih raya dan kelengkapan raya.

Malah, ada dalam kalangan vendor yang mendakwa mereka kerugian mencecah puluhan ribu ringgit lantaran terpaksa menanggung kos logistik, pemasangan reruai serta modal jualan bagi menyertai pesta tersebut.

Menerusi kempen promosi sebelum ini, difahamkan pesta tersebut dianjurkan oleh Asia Global Entertainment (International) Sdn Bhd dengan menghimpunkan 100 usahawan selebriti popular.

Dalam pada itu, WTCKL dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya tidak terlibat dalam pengurusan acara tersebut.

Katanya, WTCKL merupakan penyedia lokasi sahaja, di mana tidak berkait dengan penganjur, Tenview (M) Sdn Bhd.

“Oleh itu, kita tidak bertanggungjawab atas sebarang bentuk kerugian sama ada secara langsung atau sebaliknya.

“Sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut, orang ramai dan pihak vendor boleh berhubung dengan syarikat berkenaan,” katanya.

Astro AWANI sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak penganjur serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung perkara ini.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED