KUALA LUMPUR – Kerusi Parlimen Batu menyaksikan pertembungan 10 penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
Penyandang kerusi tersebut yang sebelum ini mewakili Pakatan Harapan (PH), P. Prabakaran akan dicabar rapat oleh bekas Ahli Parlimen dan bekas ketua PKR Cabang Batu, Chua Tian Chang @ Tian Chua yang bertanding atas tiket bebas
Selain itu, pencabar lain adalah Datuk A. Kohilan Pillay selaku calon parti komponen Barisan Nasional (BN), Azhar Yahya (Pas) yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Wan Azliana Wan Adnan dari parti Gerakan Tanah Air (Pejuang).
Dua calon bebas yang turut tercalon adalah peguam dan aktivis kontroversi, Siti Zabedah Kasim yang dikenali Siti Kasim dan pempengaruh media sosial, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, atau lebih dikenali Cleopatra.
Beberapa nama lain yang turut mencuba termasuk P Naganathan (Warisan), Too Cheng Huat (Bebas) dan Zulkifli Abd Fatah (PRM).
Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus SPR Parlimen Batu, Khairul Azmir Ahmad dan selepas disemak serta berpuas hati, telah memutuskan tiada kertas penamaan calon yang ditolak.