DUN Melaka bergolak: 'Perubahan pasti akan berlaku' - Ketua Menteri
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 1, 2021 18:48 MYT
'Bagi saya, ini perkara biasa dalam dunia politik, perubahan pasti akan berlaku bila tiba waktunya nanti,' kata Sulaiman. - Gambar fail
AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menganggap spekulasi kononnya bakal berlaku perubahan pada corak pimpinan di negeri itu ketika ini, hanya perkara biasa dalam dunia politik.
Katanya, tiada yang akan kekal dalam landskap politik negara yang mana perubahan pasti akan berlaku samada cepat atau lambat.
“Maaf, saya enggan ulas mengenai desas-desus perubahaan kerajaan Negeri ketika ini.
“Bagi saya, ini perkara biasa dalam dunia politik, perubahan pasti akan berlaku bila tiba waktunya nanti,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, spekulasi kini bertiup kencang mendakwa, kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO bakal tumbang pada bila-bila masa.
Ini berikutan empat ADUN kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH) dan
difahamkan, keempat-empat ADUN berkenaan sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD).
Empat wakil rakyat yang disebut-sebut ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).
Untuk rekod kerajaan Melaka dipimpin Sulaiman selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) yang tumbang Mac tahun lalu.
Kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11.