Translate

28 September 2021

LHDN Nafi 4 Juta Data Bocor Diperoleh Daripada Laman Rasminya

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)


LHDN nafi 4 juta data bocor diperoleh daripada laman rasminya

Astro Awani
28/9/2021

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menafikan laporan empat juta data yang bocor diperolehi daripada laman sesawangnya melalui Application Programming Interfaces (API) yang dibuat untuk myIDENTITY.

Menerusi satu kenyataan, LHDNM memaklumkan lembaga itu merupakan pengguna dan bukannya pemilik kepada sistem tersebut yang berada di bawah seliaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Siasatan dalaman telah dijalankan dan mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran data dan maklumat seperti yang didakwa.

“LHDNM juga sedang bekerjasama dengan pihak JPN dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat semua kemungkinan berkenaan dakwaan ini.

“LHDNM memberikan jaminan semua data dan maklumat yang berada dalam simpanan LHDNM adalah selamat kerana ia dilindungi dengan teknologi keselamatan data yang diiktiraf,” menurut kenyataan berkenaan.

Dalam kenyataan itu, LHDNM turut menyatakan rasa kesal dengan laporan dan dakwaan berkenaan kerana ia boleh menghakis keyakinan orang ramai khususnya pembayar cukai terhadap keselamatan data dan maklumat mereka.

“LHDNM juga ingin menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan perkara yang tular seumpama ini dan turut tidak menolak kemungkinan ia dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan niat untuk mengelirukan dan menipu masyarakat,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan pangkalan data dipercayai milik JPN didakwa telah dijual di forum pasaran pangkalan data yang terkenal.

Penjual untuk forum tersebut mendakwa ia mengandungi empat juta data peribadi rakyat Malaysia yang diperoleh daripada portal rasmi LHDN menggunakan API yang dibuat untuk myIDENTITY.

Pangkalan data JPN itu disertakan dengan tanda harga 0.2 BTC bersamaan dengan harga sekitar RM35,495.

MyIDENTITY merupakan sebuah platform perkongsian data nasional untuk sektor awam membolehkan agensi kerajaan mendapatkan maklumat peribadi seseorang dari repositori berpusat.

Sumber: Astro Awani
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/lhdn-nafi-4-juta-data-bocor-diperoleh-daripada-laman-rasminya-322318




Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED