Translate

05 February 2021

Mayat Lelaki Bangladesh Hampir Reput Ditemukan Dipercayai Dibunuh


Mayat lelaki Bangladesh hampir reput ditemukan dipercayai dibunuh


BERNAMA
05/02/2021 


BUKIT MERTAJAM, 5 Feb -- Mayat lelaki warga Bangladesh yang hampir reput ditemukan di dalam longkang di sebuah kilang di Taman Perindustrian Ringan Juru di sini hari ini oleh pengurus kilang itu, dipercayai dibunuh rakan senegaranya.

Mayat Mohammad Rajib Mia, 29, itu dijumpai oleh pengurus kilang berkenaan ketika beliau pergi ke kilang tersebut kira-kira 1.30 tengah hari tadi sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata pengurus kilang itu pada mulanya terhidu bau busuk sebelum memeriksa kawasan kilang dan mendapati terdapat ulat keluar dari longkang yang berbau busuk.

"Beliau kemudiannya membuka penutup longkang yang jenis simen itu sebelum menemukan mayat dalam keadaan mereput, suspek dipercayai menyembunyikan mayat di dalam longkang bagi mengelak dikesan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan awal oleh pasukan perubatan mendapati mangsa cedera dan meninggal dunia disebabkan objek tumpul secara dominan dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Shafee berkata siasatan awal mendapati kilang itu telah dijadikan gudang menyimpan kain kerana syarikat tersebut menjalankan perniagaan membuat pakaian sekolah, uniform, baju melayu dan baju kurung serta telah mempunyai bangunan kilang baharu di Simpang Ampat, dekat sini.

Katanya, selain dijadikan gudang menyimpan kain, tingkat atas premis tersebut juga dijadikan pejabat dan asrama penginapan pekerja asing yang bekerja di kilang syarikat itu.

"Mangsa tinggal di situ dan pemeriksaan lanjut, polis menjumpai sebilah pisau, tukul besi dan sebatang besi sepanjang 0.8 meter terdapat kesan darah tidak jauh daripada mayat lelaki itu ditemukan. Selain itu, terdapat kesan darah di tingkat atas kilang tersebut," katanya.

Beliau berkata berdasarkan siasatan juga, mangsa telah hilang sejak 15 Jan lepas dan pengurusan kilang itu tidak membuat laporan polis kerana menyangka lelaki tersebut melarikan diri dan pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa telah dibunuh sejak tempoh berkenaan.

Katanya, ekoran kejadian itu, polis menahan seorang lelaki Bangladesh berumur 21 tahun yang merupakan rakannya di kilang baharu syarikat tersebut di Simpang Ampat hari ini bagi membantu siasatan dan polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian disebabkan perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED