Translate

15 February 2021

Kes Rogol Dalam Lokap: 11 Pegawai Kanan, Rendah Polis Dikenakan Tindakan

Kes rogol dalam lokap: 11 pegawai kanan, rendah polis dikenakan tindakan

BERNAMA
15/02/2021 

KUALA LUMPUR, 15 Feb -- Sebelas pegawai kanan dan rendah polis akan dikenakan tindakan tatatertib berikutan laporan kes rogol di lokap Balai Polis Pusat Miri, Sarawak, Januari lepas, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya.

Beliau berkata kesemua mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana didapati gagal serta cuai menjalankan tugas.

“Tindakan tatatertib ini akan diambil oleh JIPS (diturunkan pangkat atau dibuang kerja),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zamri berkata pihaknya menerima dua laporan polis iaitu laporan pertama dibuat oleh seorang anggota polis yang melibatkan kejadian rogol, manakala laporan kedua dibuat oleh mangsa rogol yang mendakwa kejadian itu berpunca daripada kecuaian polis.

“Kedua-dua kertas siasatan yang dibuka telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan dituduh,” katanya.

Zamri berkata seorang lelaki berumur 19 tahun dituduh di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan pada 12 Jan, manakala bagi laporan kedua pula, kedua-dua anggota polis yang bertugas menjaga lokap itu ditahan kerja bermula 14 Jan dan dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 pada 9 Feb.

“JIPS telah menjalankan siasatan tatatertib bagi menyiasat kecuaian dan salah laku dalam kejadian itu,” katanya.

Pada Januari lepas, Senator Alan Ling Sie Kiong menerusi hantaran di akaun Facebook milik beliau mendedahkan satu laporan dibuat oleh seorang remaja perempuan di Balai Polis Pusat Miri mendakwa dirinya dirogol oleh tahanan lain semasa berada di lokap balai berkenaan.

Sementara itu Zamri berkata JIPS memandang serius beberapa dakwaan kejadian gangguan seksual melibatkan petugas sekatan jalan raya yang tular di media sosial baru-baru ini.


Beliau berkata tindakan tegas daripada sudut jenayah dan tatatertib akan diambil terhadap semua yang terlibat jika didapati bersalah.

“Kesemua yang terlibat telah dikeluarkan daripada menjalankan tugas SJR sehingga siasatan selesai,” katanya.

Semalam, tular di media sosial seorang wanita dalam ciapan Twitternya mendakwa mengalami gangguan seksual ketika melalui sekatan jalan raya di Jalan Duta.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED