COVID-19: Malaysia rekod kematian tertinggi, 25 lagi meninggal dunia
BERNAMA
18/2/2021
KUALA LUMPUR:Negara sekali lagi merekodkan kes kematian tertinggi akibat COVID-19 apabila sejumlah 25 lagi mangsa meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu.
Pertambahan kes kematian itu menjadikan angka korban dalam negara kini mencecah angka 1,030 sejak kematian pertama pada 17 Mac tahun lalu.
Dalam perkembangan sama, Malaysia turut merekodkan 2,712 lagi jangkitan baharu.
Angka tersebut menjadikan jumlah kes positif dalam negara berada di bawah 3,000 kes untuk lima hari berturut-turut.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dengan empat kes import itu bertambah kepada 274,875.
Sementara itu, angka kes sembuh baharu pula sekali lagi memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia apabila terus catat pertambahan sebanyak 5,320.
Untuk itu, jumlah kes sembuh dalam negara kini 235,082 atau bersamaan 85.52 peratus.
Jumlah kes aktif terus menunjukkan trend penurunan kepada 38,763 dengan 227 pesakit berada di unit rawatan rapi termasuk 103 memerlukan bantuan pernafasan.
Source: Astro Awani
FOR MORE NEWS GO TO: