Translate

14 July 2020

Pengarah Jepak Holdings Saidi Memberitahu Datin Rosmah Minta 15% daripada RM1.25 Bilion untuk membantu dapat projek.



14/07/2020 04:34 PM



KUALA LUMPUR, 14 Julai -- Rakan perniagaan kepada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa Datin Seri Rosmah Mansor meminta sumbangan RM187.5 juta iaitu 15 peratus daripada RM1.25 bilion nilai projek solar hibrid bagi 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak untuk membantu Jepak mendapatkan projek berkenaan.

Rayyan Radzwill Abdullah, 40, pengarah Nanocarb Technology Sdn Bhd berkata perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Rizal Mansor, yang ketika itu merupakan pembantu Rosmah semasa perjumpaan di sebuah Bistro di Sunway Putra Mall di sini antara Januari dan Februari 2016.

"Datuk Rizal telah berjumpa saya dan Saidi di restoran itu dan semasa perjumpaan tersebut, Datuk Rizal mengatakan semuanya okay cuma peratus sumbangan perlu dinaikkan kepada 15 peratus kerana Datin Seri Rosmah inginkan 15 peratus daripada jumlah RM1.25 bilion nilai projek tersebut.


"Jadi jumlah sumbangan 15 peratus berkenaan adalah bersamaan RM187.5 juta. Saidi mengatakan jumlah itu tinggi dan ia perlu dikurangkan sikit kerana Saidi perlu jaga ramai orang lagi. Datuk Rizal mengatakan akan semak dan maklum kembali dan beliau juga meminta bahagiannya sebanyak RM5 juta setahun selama lima tahun daripada Saidi. Saidi menyatakan 'okay' sebagai tanda setuju dengan permintaan Datuk Rizal," katanya.

Menurut saksi ke-16 pihak pendakwaan itu, Rizal kemudiannya menghubungi beliau dan memberitahu duit sumbangan 15 peratus bersamaan RM187.5 juta adalah muktamad dan tidak boleh diubah dan memintanya memaklumkan perkara berkenaan kepada Saidi.

"Saya kemudian telah menghubungi Saidi dan memaklumkan beliau tentang perkara tersebut," katanya yang membacakan penyataan saksinya pada hari ke-16 perbicaraan kes Rosmah yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta, daripada Saidi.


Suapan itu didakwa diterima menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Terdahulu, Rayyan Radzwill berkata Saidi memaklumkan kepadanya bahawa beliau akan menghubungi Rizal bagi mendapatkan sokongan Rosmah untuk melancarkan proses Jepak mendapatkan projek solar itu selepas KPM tidak memberi maklum balas berhubung pembentangan mereka berkenaan projek tersebut.


"Satu perjumpaan dibuat dalam bulan Januari atau Februari 2016 di antara kami berdua dengan Datuk Rizal di sebuah Bistro pada waktu malam dan antara isu yang dibincangkan berkenaan tindakan Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pendidikan ketika itu) yang tidak memberi sebarang respons kepada Saidi dan Jepak biarpun perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengeluarkan minit arahan untuk melaksanakan projek solar hibrid Jepak.

"Dalam pertemuan itu, Saidi ada bertanya tentang peratus sumbangan yang perlu diberikan kepada Rosmah sekiranya beliau setuju membantu Jepak untuk mendapatkan projek solar tersebut dan Datuk Rizal menasihatkan kepada Saidi dan saya agar menawarkan sumbangan sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus daripada nilai projek solar berkenaan.

“Datuk Rizal juga meminta Saidi untuk memulakan tawaran bermula dari 10 peratus terlebih dahulu agar kami dapat nego (runding) dan henti di takat 15 peratus dari nilai projek tersebut," katanya.

Saksi itu berkata beberapa hari kemudian, beliau dan Saidi telah pergi ke rumah Rosmah di Jalan Langgak Duta dan antara isu yang dibincangkan adalah berkenaan sokongan Rosmah dalam projek solar hibrid dan sumbangan yang hendak diberikan oleh Jepak kepada isteri bekas perdana menteri itu atas bantuan yang diberikan.

"Saidi telah menawarkan 10 peratus sebagai sumbangan kepada Datin Seri Rosmah dan beliau telah menjawab dengan mengatakan 'keadaan politik sekarang memang memerlukan banyak wang” dan 'kita tengoklah nanti'," katanya yang turut memaklumkan perjumpaan tersebut berlangsung selama 10 minit.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

-- BERNAMA



14/07/2020 05:05 PM



KUALA LUMPUR, 14 Julai -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin telah meminta bekas Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan Datuk Othman Semail untuk mempercepatkan proses kelulusan projek solar hibrid di Sarawak kerana mendakwa itu adalah projek 'bos.'

Rakan perniagaan Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah, 41, berkata setahu beliau 'bos' yang dimaksudkan ialah Perdana Menteri (ketika itu).

"Datuk Othman Semail membalas bahawa beliau tidak suka dengan cara meminta projek seperti ini dan beliau bekerja untuk rakyat dan bukannya untuk ahli politik.



"Datuk Othman Semail juga menyatakan bahawa adalah tidak adil kepada kontraktor lain jika Jepak sahaja yang diberikan projek tersebut dan kami kemudiannya beredar dari pejabat beliau tanpa apa-apa kata putus," katanya sambil menambah pertemuan dengan Othman berlaku di pejabat beliau di Kementerian Kewangan, Putrajaya sekitar bulan Ogos 2016.

Saksi pendakwaan ke-16 itu memberi keterangan pada hari ke-16 perbicaraan kes Rosmah, 68, yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor, sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).


Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Membacakan penyataan saksinya, Rayyan Radzwill berkata selepas pertemuan itu, beliau dan Saidi telah menemui Rizal untuk mengadu tentang layanan Othman yang tidak berapa senang dengan kehadiran mereka serta kata-katanya yang dianggap merendahkan Rosmah.

Rayyan Radzwill, yang juga pengarah syarikat Nanocarb Technology Sdn Bhd (Nanocarb), berkata Rizal menegaskan bahawa beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Rosmah.


Beliau berkata beberapa hari selepas itu, Rizal telah berjumpa dengannya dan Saidi di sebuah pusat beli-belah di sini serta memaklumkan mereka bahawa beliau telah menyampaikan aduan mereka kepada Rosmah yang seterusnya telah mengadukan perkara tersebut kepada suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Datuk Rizal Mansor telah memberitahu kami bahawa Datin Seri Rosmah telah memaklumkan beliau bahawa Datuk Seri Najib telah pun menghubungi Datuk Othman dan menekan beliau untuk menyegerakan proses kelulusan Kementerian Kewangan bagi penawaran kontrak solar kepada Jepak secara rundingan terus oleh KPM.

"Datuk Rizal Mansor juga memberi jaminan kepada kami bahawa segalanya telah diuruskan dan kami hanya perlu menunggu sehingga pihak KPM mengeluarkan Surat Niat.

Beliau berkata beberapa minggu selepas itu, Rizal telah menghantar mesej WhatsApp kepadanya yang menyatakan bahawa Othman telah pun mengeluarkan surat kelulusan kepada KPM untuk mengeluarkan Surat Niat kepada Jepak.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

-- BERNAMA


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED