Translate

14 July 2020

Padah rogol gadis dikenali melalui WeChat, empat lelaki dihukum penjara (Video)

Astro Awani

Semua tertuduh merogol mangsa secara berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Gadong, Batu Gajah Sungai Rambai, Jasin. -Gambar Astro AWANI


AYER KEROH: Padah merogol seorang gadis berusia 18 tahun yang dikenali menerusi aplikasi WeChat, empat lelaki dihukum penjara 10 hingga 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Selasa.

Keputusan itu dibuat Hakim Elesabet Paya Wan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap keempat-empat tertuduh.

Elesabet menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Ahmad Aiman Abdullah, 24, manakala tiga lagi tertuduh iaitu Muhammad Syazani Azmani, 29; Muizzuddin Murad, 27; dan Mohamad Khairul Amirin Yem, 21, dipenjara 10 tahun.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, mereka didapati merogol mangsa yang ketika itu berusia 18 tahun secara berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Gadong, Batu Gajah Sungai Rambai, Jasin.

Kesalahan itu berlaku antara jam 2.30 hingga 3.30 pagi pada 4 Jun 2017.

Berikutan itu, mereka melakukan kesalahan mengikut seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin, memohon hukuman berat bagi semua tertuduh dengan mengambil kira faktor mangsa berkali-kali menangis meminta untuk dilepaskan.

Malah tertuduh juga mengugut untuk meninggalkan mangsa seorang diri di ladang kelapa sawit pada tengah malam sekiranya dia enggan menyerah.

Tambahnya, hukuman berat itu sebagai pengajaran kepada kesemua tertuduh dan masyarakat berikutan kes rogol yang semakin menjadi-jadi.

Elesabet kemudian menetapkan hukuman penjara 12 tahun bermula sejak ditangkap pada 6 Jun 2017 bagi Ahmad Aiman, manakala hukuman 10 tahun penjara terhadap tiga tertuduh lain, bermula hari ini.

Peguam Ishak Kari mewakili Ahmad Aiman dan Muizzuddin manakala Muhammad Syazani dan Mohamad Khairul Amirin diwakili peguam, Cassian Anthony.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berkenalan dengan Ahmad Aiman melalui aplikasi WeChat sebelum dibawa bertemu tiga tertuduh lain yang merupakan rakan lelaki tersebut.

Mangsa kemudian dibawa ke sebuah rumah dan dipaksa melakukan hubungan seks dengan kesemua tertuduh dan diugut untuk ditinggalkan di ladang kelapa sawit sekiranya enggan memenuhi permintaan mereka.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED