Syarikat bawa pekerja Bangladesh belum dilantik, kata Zahid
OLEH MD IZWAN
Published: 21 October 2015 11:59 AM
Zahid berkata, hanya terdapat senarai beberapa syarikat yang memohon untuk membawa masuk pekerja asing dari negara tersebut malah Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum melantik mana-mana firma secara rasmi.
"Hanya disenarai pendek, belum lantik lagi. Kita sudah meminta cadangan, banyak syarikat yang berminat untuk sertainya," kata Zahid selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Polis Am dan Peralatan Khas Asia 2015 di PWTC pagi ini.
Zahid juga berkata, kontrak perjanjian masih belum dimuktamadkan.
Dalam jawapan bertulis semalam kepada soalan Ahli Parlimen PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, KDN mendedahkan Synerflux tersenarai untuk mengendalikan pengurusan atas talian kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh tetapi perbincangan masih sedang berjalan.
KDN berkata, syarikat itu tersenarai mengendalikan kemasukan kerana memiliki model cadangan mampan dan selari dengan syarat Putrajaya yang lebih sistematik, berkesan dan prosedur terkawal untuk membawa masuk pekerja.
Kontroversi tercetus sebelum ini selepas kontrak kemasukan pekerja tersebut dikatakan dianugerahkan kepada adik Zahid, Datuk Abdul Hakim Hamidi.
KDN bagaimanapun menafikan laporan yang mengatakan Zahid mengarahkan pengurusan sistem kontrak pekerja Bangladesh diberikan kepada syarikat adiknya dan mendakwa perkara itu masih diperingkat perbincangan. – 21 Oktober, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/syarikat-bawa-pekerja-bangladesh-belum-dilantik-kata-zahid#sthash.DillfT5k.dpuf