Bantuan banjir: “Mungkin ini yang terbaik mampu saya lakukan” - Khairul Aming
Astro Awani
02/12/2024
Khairul Aming berkongsi pek makanan dengan mangsa-mangsa banjir. - Gambar Astro AWANI/ HILAL AZMI
KOTA BHARU: Pengalaman mengharungi banjir suatu masa dahulu selain terkesan dengan kesukaran yang sedang dilalui masyarakat di bumi kelahirannya, Kelantan Darul Naim membuatkan pempengaruh Khairul Aming tidak menunggu lama untuk menggerakan misi bantuan kemanusiaan.
Sebaik menerima khabar duka air sungai mula naik di Kota Bharu sekitar jam 1 pagi Jumaat lalu, ligat otak Khairul Aming bekerja dan merencana bantuan apa yang paling mustahak dan perlu segera disalurkan.
Resahnya makin berganda apabila membaca perkongsian netizen di media sosial yang berkongsi pelbagai perkembangan terkini selain rakaman-rakaman serta video secara langsung berhubung bencana alam itu.
Mendengar berita jumlah mangsa semakin meningkat sehingga mencecah 50,000 orang di seluruh negeri berkenaan dalam tempoh kurang 48 jam pula menyebabkan tidur Khairul Aming tidak lena.
“Ketika itu jam 1 pagi, saya dapat maklumat bahawa keadaan air sungai mulai naik di Kota Bharu.
“Saya resah memikirkan nasib mangsa banjir khususnya warga emas, kaum wanita, golongan kurang upaya dan anak-anak kecil.
“Saya pernah melalui fasa banjir seperti ini… saya memahami kesulitan dan kepayahan mereka, jadi saya tidak boleh sekadar simpati semata-mata, saya harus lakukan sesuatu bagi meringankan beban mereka.
“Justeru, dengan kapasiti dan pasukan saya di Kelantan saya katakan ‘why not’ (kenapa tidak) saya terus datang ke Kota Bharu dan buat penghantaran bantuan daripada ‘team kilang’ saya,” ujar Khairul Aming kepada Astro AWANI ketika ditemui di pusat pengagihan bantuan kemanusiaan, di sini, pada Ahad.
Pengalaman melalui banjir menjentik emosi Khairul Aming untuk membantu mangsa yang memerlukan bantuan.
Khairul Aming, 32, turut berkongsi, tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa kerja-kerja kemanusiaan ini mencapai pada kedudukan hari ini.
“Sejujurnya saya masih tidak percaya misi bantuan banjir saya boleh jadi sebesar ini,” Khairul Aming menyambung bicara seraya merenung jauh, barangkali memikirkan apa lagi usaha lain yang perlu digerakkan bagi membantu mangsa musibah itu.
Melalui semangat ingin tahu dan berani mencuba yang tinggi, Khairul Aming bersama-sama pasukannya tidak teragak-agak untuk segera menambah baik operasi bantuan yang telah pun dimulakan sejak Jumaat lalu.
Sebetulnya, permulaan misi bantuan kemanusiaan Khairul Aming bersama pasukannya beroperasi di salah sebuah warung nasi berlauk dengan ideanya untuk membantu kenalan terdekat membekalkan juadah kepada mangsa banjir.
Syukur dipanjatkan anak jati dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu kerana di sebalik pengaruh yang beliau ada selain ‘kuasa viral’ berita kerja-kerja kemanusiaannya tular, hikmah didatangkan oleh Yang Maha Esa - usahanya itu mula mendapat perhatian netizen dan masyarakat dari seluruh pelusuk negara.
Kegembiraan terpancar pada wajah usahawan itu apabila menerima tawaran yang mencurah-curah daripada pengikutnya di media sosial yang berhajat turut serta untuk ‘berkongsi pahala’ menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.
Ketika itu, kesyukuran tidak putus-putus dipanjatkan Khairul Aming kepada Allah SWT kerana beliau rupanya tidak bersendirian kerana ramai lagi orang di luar yang mahu menyertainya.
“Inilah nikmat dan kemanisan kita di Malaysia, sentiasa mahu bersama-sama membantu dan memberi sokongan kepada yang memerlukan,” ujarnya sambil menyimpul senyuman yang paling manis.
Sokongan pengikut, jelas Khairul Aming menjadikan misinya pantas berkembang.
Katanya, memasuki hari ketiga (Ahad), beliau dan seluruh pasukannya berpindah ke sebuah dewan dengan kehadiran tenaga sukarelawan yang lebih ramai.
“Kali ini kita perkemaskan operasi dengan lantikan pasukan khas untuk membantu saya melicinkan operasi mengumpul, menyusun dan menghantar barangan bantuan dengan lebih cekap,” jelas beliau.
Lantaran kerja-kerja sosial ini dilakukan atas dasar tanggungjawab serta penuh kecintaan dan kasih sayang, Khairul Aming beserta pasukannya bekerja dengan penuh dedikasi menyelaraskan bahan bantuan, tenaga kerja serta pengangkutan dalam usaha memastikan sumbangan disalurkan kepada golongan sasar.
Khairul Aming bersama pasukan sukarelawan yang sedia membantunya berkhidmat kepada mangsa-mangsa banjir.
Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman turut berkongsi setiap gerak kerja bantuan kemanusiaan itu menerusi sesi penstriman langsung di platform TikTok beliau.
Kepada satu soalan mengenai sentimen pengguna media sosial ke atas usaha yang diambil beliau yang dilihat seakan-akan menidakkan fungsi pemimpin mahupun agensi yang sepatutnya berfungsi ketika krisis, ini jawab beliau:
“Mungkin inilah yang terbaik mampu saya lakukan. Sekarang bukan masanya untuk kita tunding jari tetapi semua orang perlu ambil tanggungjawab dan kita gerakkan bersama-sama.
“Paling penting sekarang ni, barangan bantuan sampai secepat mungkin kepada mereka yang memerlukan,” tegasnya.
Dianggarkan, sepanjang tiga hari misi bantuan banjir digerakkan Khairul Aming dianggarkan telah berjaya meliputi hampir 10,000 mangsa banjir di Jajahan Pasir Mas, Tumpat dan Machang.