Translate

02 December 2024

Banjir: PM Anwar sifatkan persiapan jentera 'luar biasa'



Banjir: PM Anwar sifatkan persiapan jentera 'luar biasa'

Astro Awani

02/12/2024


Anwar ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Disember tahun 2024 di Dewan De’ Seri Endon. - Astro AWANI


PUTRAJAYA: Perdana Menteri menyifatkan persiapan jentera untuk menghadapi banjir kali ini adalah luar biasa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam memastikan penyelarasan dari pelbagai aspek dilaksankan lebih awal.

"Saya sempat ke Terengganu semalam dan satu perkara yang saya bersyukur adalah persiapan jentera kita luar biasa kali ini, itu disebut ikhtiar kita. Kita ada umpamanya penyelarasan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama agensi terlibat seperi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Anggota Pertahanan Malaysia (APM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

"Sengaja saya minta laporan ringkas, yang mana kesiapsiagaan berbulan sebelumnya jadi tidak terlalu sukar bila ada persiapan baik dan ini majoriti (dilaksanakan) oleh jentera kerajaan di peringkat persekutuan, negeri, perbandaran, daerah dan jajahan di Kelantan.

"Saya sangat terharu apabila saya sendiri bersama Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Nadma melihat sendiri persiapan dan bertanyakan kepada mangsa terjejas berkenaan mutu makanan, keselesaan yang terbatas, tetapi perubatan yang baik oleh seluruh jentera. Saya sangat bersyukur dan bangga dengan khidmat yang ditunjukkan dan ini akan berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Disember tahun 2024 di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, di sini pada Isnin.

Pada masa sama, Datuk Seri Anwar turut menyeru sektor swasta turut menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir bukan sahaja dari segi pemberian dana, tetapi juga menyediakan jentera turun padang untuk membantu rakyat yang terkesan.

Pada Ahad, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan segera untuk disalurkan kepada Kelantan dan Terengganu, masing-masing RM25 juta, susulan keadaan banjir yang serius di kedua-dua negeri tersebut.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan yang disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri itu akan digunakan bagi membaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung, termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut.

Selain itu Anwar berkata Kerajaan Persekutuan juga bersetuju menyediakan bantuan khas kewangan RM500 kepada lebih 14,000 penjawat awam negeri Terengganu, melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM7.4 juta.

Sebelum ini Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan kira-kira RM50 juta bagi membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu menerusi peruntukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan peruntukan tambahan hari ini adalah bagi tujuan membaiki infra serta kerja-kerja pasca banjir yang dijangka melibatkan kos yang tinggi.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED